POLIS berjaya mematahkan aktiviti penjualan rokok tanpa cukai hasil penahanan seorang lelaki tempatan di sebuah premis di Kampung Parit Banyu Mas. FOTO Ihsan PDRM
POLIS berjaya mematahkan aktiviti penjualan rokok tanpa cukai hasil penahanan seorang lelaki tempatan di sebuah premis di Kampung Parit Banyu Mas. FOTO Ihsan PDRM
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Polis mematahkan aktiviti penjualan rokok tanpa cukai hasil penahanan seorang lelaki di sebuah premis di Kampung Parit Banyu Mas, Parit Yaani, dekat sini, petang semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, lelaki tenpatan berusia 39 tahun itu ditahan menerusi Ops Kontraban pada 6 petang dan pihaknya merampas 1,293 karton rokok seludup pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam.

"Anggaran nilai rokok seludup itu adalah RM60,771 manakala anggaran nilai cukainya RM173,535.10, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan ini RM234,306.10.

"Siasatan mendapati premis itu dijadikan sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup itu yang dipercayai untuk edaran bagi pasaran di sekitar Batu Pahat dan Yong Peng.

"Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikit Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket rokok seludup di daerah Batu Pahat dan Yong Peng, Johor.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 1:20 PM