SEBAHAGIAN daripada rampasan berkenaan. FOTO Ihsan PGA
SEBAHAGIAN daripada rampasan berkenaan. FOTO Ihsan PGA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tindakan penyeludup membawa masuk mercun, rokok dan minuman keras tidak bercukai ke negara ini berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menahan lapan individu dan merampas bahan larangan itu bernilai lebih RM2.32 juta.

Penahanan itu dilakukan menerusi enam serbuan berasingan di Selangor dan Johor yang dilakukan oleh Briged Tengah PGA bermula 2 hingga 8 Mei lalu.

Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan pertama yang dilakukan di sebuah premis di Jalan Parit Yaani Batu Pahat, Johor, pada 2 Mei lalu menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis rokok serta mercun dipercayai seludup bernilai RM135,998.50.

"Keesokannya, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah premis di Taman Universiti, Kajang, Selangor dan menahan seorang lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM509,600.

"Pada Jumaat lalu, PGA melakukan tiga serbuan di Taman Air Biru, Pasir Gudang, Taman Putera Indah, Muar dan Taman Selesa Jaya, Skudai, Johor. Dalam serbuan berkenaan, kita menahan lima lelaki dan merampas pelbagai jenis mercun serta rokok seludup bernilai RM1.38 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Muhammad berkata, serbuan keenam dilakukan jam 4.45 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Briged Tengah PGA ke atas sebuah lori di Persiaran Galaksi, Taman Desa Subang, Shah Alam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis minuman keras jenis bir dipercayai seludup bernilai RM288,964.

Katanya, kesemua lapan suspek berusia antara 33 hingga 64 tahun yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 10:04 AM