Mayat kanak-kanak yang ditemui lemas di Sungai Baram diserahkan kepada ahli keluarganya di Kampung Long Banyok, Hulu Baram, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mayat kanak-kanak yang ditemui lemas di Sungai Baram diserahkan kepada ahli keluarganya di Kampung Long Banyok, Hulu Baram, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Oleh Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


Miri: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di sebuah rumah panjang di Kampung Long Banyok, Hulu Baram di sini semalam, ditemukan mati lemas di Sungai Baram, hari ini.

Mayat Vincent Laing, 4, ditemui terdampar di tebing sungai oleh penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa kemudiannya terus dibawa balik ke rumah panjang berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu pada jam 2.10 pagi ini.

"Bertindak atas laporan itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi dikerah ke lokasi dengan menaiki bot yang menempuh perjalanan lebih tiga jam," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, kehilangan kanak-kanak itu disedari bapanya pada jam 4 petang semalam.

Beliau berkata, pencarian awal dijalankan oleh penduduk kampung di kawasan hutan berhampiran serta sungai, namun usaha mereka gagal.

Berikutan itu, JBPM dihubungi bagi memperluaskan lagi usaha mencari mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:38 PM