Aksi atlet badminton paralimpik negara Cheah Liek Hou di Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aksi atlet badminton paralimpik negara Cheah Liek Hou di Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas badminton Sukan Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou mengakui jiwanya lebih tenang apabila menggunakan wang ganjaran RM1 juta yang dimenanginya ke arah kebajikan.

Liek Hou berkata, wang kemenangan itu akan dibahagikan kepada beberapa pusat kebajikan selain turut memberikannya kepada petugas barisan hadapan dan mangsa Covid-19.

Katanya, inisiatif berkenaan adalah matlamat yang ingin dicapai selepas impian memenangi pingat di kejohanan paling besar di dunia sudah berjaya direalisasikan.

"Saya ada banyak matlamat atau impian yang ingin dicapai antaranya membantu golongan susah dan kemudiannya baru memikirkan hala tuju lain dalam badminton," katanya.

Menurut pemain berusia 33 tahun itu, disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dia lebih memikirkan untuk menggunakan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) untuk aktiviti kebajikan.

Selain itu, Liek Hou mengharapkan lebih ramai atlet para terutama dalam sukan badminton dapat dilahirkan pada masa akan datang.

"Saya cadangkan supaya cari individu yang boleh membantu untuk beraksi di peringkat lebih tinggi atau membawa kita menyertai kejohanan kompetitif.

"Dapatkan jurulatih yang baik untuk pertingkatkan lagi prestasi dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan di peringkat tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 8:26 PM