FARID lakon watak pemain badminton legenda, Rashid Sidek dalam filem Gold.
FARID lakon watak pemain badminton legenda, Rashid Sidek dalam filem Gold.
Ramlah Zainal


KISAH kejayaan jaguh Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou diangkat dalam filem terbaharu sentuhan pengarah terkenal, Adrian Teh berjudul Gold.

Menurut Adrian, kejayaan Liek Hou memenangi pingat emas menerusi sukan badminton turut mencetuskan idea buat pihaknya dan Astro Shaw untuk menghasilkan filem yang mengangkat kisah atlet berkenaan.

"Filem Gold adalah bertemakan sukan yang mampu membawakan elemen yang boleh membangkitkan kebanggaan rakyat Malaysia.

"Idea untuk menghasilkan filem ini tercetus apabila saya melihat sesi temu bual Liek Hou bersama media sejurus kemenangannya membawa pulang pingat emas buat negara.

"Apa yang membuatkan saya terharu apabila Liek Hou mengalungkan pingat emas yang dimenanginya itu kepada jurulatihnya, pemain badminton legenda, Datuk Rashid Sidek," katanya di lokasi penggambaran filem terbabit di Stadium Malawati, Shah Alam, baru-baru ini.

Adrian berkata, skrip dan jalan cerita filem terbitan Astro Shaw serta Act 2 Pictures itu dihasilkan pada 2021.

"Penggambaran filem Gold pula membabitkan tempoh 31 hari bermula pada 12 Mac lalu dan berakhir 11 April lalu di lokasi sekitar Lembah Klang.

"Kami berharap pembikinan filem Gold memberikan inspirasi kepada atlet sempena Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris pada 2024," katanya.

Cabaran buat filem semi autobiografi

Selaku pengarah, Adrian mengakui berdepan cabaran agak besar untuk merealisasikan filem semi autobiografi itu. Menurutnya, jalan cerita filem Gold sangat memberi motivasi kepada dirinya dan berusaha menjual cerita terbabit.

"Saya juga mengadakan temu bual dengan Liek Hou dan Rashid untuk memberitahu mereka mengenai filem ini menerusi aplikasi Zoom ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

"Saya juga bertemu Liek Hou sebelum ini dan dia seperti tidak percaya bila saya beritahu mahu mengangkat kisah hidupnya dalam filem ini," katanya.

Kata Adrian, dia sudah tahu perjalanan hidup Liek Hou kerana banyak kali menemu bualnya sebelum ini.

"Saya juga simpati pada Liek Hou yang sudah 11 kali menang jaguh Sukan Paralimpik, tapi tiada siapa yang mengenalinya.

"Cara Rashid dan Liek Hou membesar juga berbeza. Rashid dibesarkan dalam keluarga badminton dan Liek Hou pula mula menyentuh raket pada usia sembilan dan 10 tahun," katanya.

Mengenai pelakon pula, kata Adrian, dia sendiri yang membuat pemilihan barisan pelakon mengikut watak sesuai.

"Pemilihan Jack Tan adalah pelakon yang tepat untuk melakonkan watak utama Liek Hou dalam filem ini. Jack juga pernah berlakon filem sebelum ini. Jack juga perlu menjalani sesi latihan selama tiga bulan kerana perlu bermain badminton dengan tangan kiri (kidal) seperti karakter Liek Ho.

ADRIAN selaku pengarah filem Gold.
ADRIAN selaku pengarah filem Gold.

"Pemilihan pelakon popular Farid Kamil pula kerana dia memiliki Rashid 'look' dan aura. Paling penting, mereka semua boleh berlakon kerana kita akur mereka bukan pemain badminton profesional," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara merangkap Penerbit Eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw komited dalam menghasilkan filem berkualiti, sekali gus memperkasakan industri filem tempatan ke peringkat global.

"Kali ini kami menampilkan kisah berlatarkan kesukanan berdasarkan daripada kisah benar pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Liek Hou dan berasa amat teruja mempersembahkannya pada peminat filem kelak.

"Kami percaya semangat kecekalan dan kejayaan membanggakan Liek Hou perlu diangkat dan dijadikan inspirasi kepada seluruh anggota masyarakat," katanya.

Selain Jack Tan (Liek Hou), Farid Kamil (Rashid), filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Wan Raja (Datuk Misbun Sidek), Yasmin Hani (isteri Rashid), Fabian Loo (Guan Teng), Freddie Ng (bapa Liek Hou ), Lynn Lim (ibu Liek Hou) dan Daniel Cheah (Ah Fat). Filem ini dijangka ditayan

gkan di pawagam tempatan pada tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 6:12 AM