Tokyo: Temasya Paralimpik Tokyo ditutup secara rasmi sebentar tadi dengan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Andrew Parsons menganggapnya sebagai temasya yang bersejarah dan menakjubkan.

"Saya tidak mahu melakukan ini, tetapi tiba masanya untuk saya mengisytiharkan yang Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ditutup," kata Parsons.

Ia adalah temasya Sukan yang berbeza dari yang lain, ditangguhkan setahun kerana pandemik dan berdepan pelbagai kesukaran dan kurangnya sokongan awam dalam memastikan kejohanan dijalankan.

Namun aksi di temasya tidak mengecewakan sepanjang ia berlangsung dengan rekod 86 pasukan memenangi medal dan 62 mengesahkan sekurang-kurangnya satu emas.

Atlet badminton paralimpik negara Cheah Liek Hou membawa Jalur Gemilang pada penutupan temasya sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Atlet badminton paralimpik negara Cheah Liek Hou membawa Jalur Gemilang pada penutupan temasya sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama

Parsons berkata temasya itu "membuka pintu" dan "ia adalah masa buat kita semua menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk memecahkan jurang itu".

China menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan membolot 207 medal merangkumi 96 emas, diikuti Britain, Amerika Syarikat dan Jawatankuasa Paralimpik Rusia (RFC).

Sementara Malaysia yang menduduki tempat ke 39 dalam carta pungutan pingat mengakhiri temasya kali ini dengan tiga emas dan dua perak.

Ia adalah pencapaian terbaik negara sejak menyertai edisi pertama temasya pada tahun 1972 di Heidelberg, Jerman.

Persembahan penutupan temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik. FOTO Bernama
Persembahan penutupan temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik. FOTO Bernama

Kejayaan itu juga mengatasi pencapaian Rio 2016, yang menyaksikan kontinjen negara menghadiahkan tiga emas dan satu gangsa.

Pingat emas pertama negara disumbangkan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting 72 kg diikuti pemain badminton para, Cheah Liek Hou kategori perseorangan lelaki SU5 dan lompat jauh lelaki T20 menerusi Abdul Latif Romly.

Manakala pingat perak dimenangi atlet powerlifting kategori 107kg lelaki, Jong Yee Khie serta Chew Wei Lun bagi acara boccia kategori individu campuran BC1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 10:20 PM