Aksi atlet badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou di temasya Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aksi atlet badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou di temasya Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bukan hendak beli kereta mewah, rumah besar ataupun membeli-belah tapi mahu menggunakan wang ganjaran RM1 juta ke arah kebajikan, jelas pemenang pingat emas badminton Sukan Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou.

Menurut pemain berusia 33 tahun itu, disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dia lebih memikirkan untuk menggunakan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) untuk aktiviti kebajikan.

"Melakukan aktiviti kebajikan adalah perkara pertama bermain di fikiran saya, sudah lama saya memikirkan untuk melaksanakan perkara ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Selain ganjaran RM1 juta daripada SHAKAM, Liek Hou juga akan menerima insentif tambahan sebanyak RM100,000 daripada FWD Takaful.

Dia yang beraksi bagi kategori SU5 muncul juara selepas menumbangkan pemain nombor satu dunia yang juga musuh tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 dalam aksi final di Stadium Kebangsaan Yoyogi.

"Selepas habis kuarantin pula, saya mungkin akan kembali berlatih bagi mempersiapkan diri untuk Kejohanan Dunia jika ia sah akan dianjurkan, jika tidak mungkin akan bercuti dengan keluarga di tempat yang boleh kami pergi," katanya.

Juara dunia enam kali itu yang dibimbing Datuk Rashid Sidek menyifatkan pencapaian berkenaan adalah yang paling tinggi dalam kariernya apabila menjadi pemain badminton Malaysia pertama memenangi emas di Paralimpik yang menyaksikan ia kali pertama dipertandingkan di Tokyo.

"Saya juga mahu dedikasikan kejayaan ini kepada jurulatih saya Datuk Rashid yang berkorban untuk melatih saya. Dia sanggup meninggalkan keluarganya selama tiga bulan bersama saya menjalani latihan secara kuarantin di MSN (Majlis Sukan Negara), memang saya nampak dia betul-betul bagi jiwa dan raga dia untuk membantu saya.

"Saya juga ingin berterima kasih keluarga terutama ibu (Jap Joe Tjin) dan isteri saya (Dewi Febriana), mereka tidak merungut apa-apa pun sepanjang ketiadaan saya untuk melakukan persiapan menghadapi Sukan Paralimpik.

"Tidak lupa juga kepada MSN dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang banyak memberi sokongan. Kalau bukan kerana mereka yang membayar gaji kepada Datuk Rashid bagi melatih saya, tidak mungkin saya dapat capai prestasi seperti hari ini," katanya yang terkejut mendapat pelbagai ucapan tahniah daripada orang ternama dan bekas atlet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 7:59 PM