Asrol Awang


Kuantan: Kementerian Luar Negeri memantau perkembangan dua rakyat Malaysia yang dihadapkan di Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Teluk Guantanamo, Cuba.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya sedang mengikuti perbicaraan membabitkan Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin sejak dihadapkan ke mahkamah itu pada 30 Ogos lalu.

"Ketika ini, kita memantau perbicaraan itu dan meneliti segala perkembangan berkaitan dua rakyat Malaysia ini," katanya selepas menghadiri taklimat dan penyerahan cenderahati kepada petugas kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata demikian mengulas perkembangan dua rakyat Malaysia yang dihadapkan ke Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat berhubung insiden pengeboman mati di Bali, Indonesia, kira-kira 19 tahun lalu.

Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006 bersama seorang rakyat Indonesia, Encep Nurjaman yang turut dikenali sebagai Hambali.

Menurut Pejabat Suruhanjaya Tentera AS, tiga suspek berkenaan sepatutnya dihadapkan ke mahkamah itu pada Februari lalu, namun perbicaraan terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19.

DATUK Saifuddin Abdullah ketika mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat. FOTO Farizul Hafiz Awang
DATUK Saifuddin Abdullah ketika mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat. FOTO Farizul Hafiz Awang

Sementara itu, mengulas bantuan yang diberikan Parlimen Indera Mahkota dari Mac 2020 hingga Ogos lalu, Saifuddin berkata, sejumlah RM1.85 juta dibelanjakan untuk membantu golongan yang terkesan sepanjang pandemik.

Menurutnya, ia membabitkan pemberian bakul makanan, barang keperluan harian, pelitup muka, pelindung muka, susu bayi, lampin pakai buang bayi serta dewasa dan cecair pensanitasi tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 2:04 PM