Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Belum ada sebarang ketetapan dalam rundingan membabitkan antara Malaysia dan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) berhubung usaha membawa pulang dua warga Malaysia yang kini berada di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rundingan berkenaan masih dalam peringkat awal.

"Itu masih peringkat awal. Baru sahaja kita memulakan rundingan dengan pihak berkuasa AS.

"Jadi belum ada apa-apa ketetapan. Sebarang perkembangan kita akan maklumkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program KDN Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Saifuddin turut ditanya sama ada tahanan berkenaan akan diletakkan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 sekembalinya ke negara ini.

"Belum sampai peringkat itu lagi. Kita baru berjumpa, mendengar dan membaca profil mereka, keadaan terkini mereka.

"Kita belum sampai ke tahap dia (tahanan Guantanamo) itu pijak kaki ke bumi Malaysia. Ini baru peringkat awal," katanya.

Pada 25 September lalu, Saifuddin dipetik berkata menerusi hantaran media sosial, kerajaan sedang mempercepatkan usaha membawa pulang dua warga Malaysia yang kini berada dalam tahanan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Beliau dilaporkan berkata perkara itu dibincangkannya dalam pertemuan dengan Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow di New York baru-baru ini.

Dua rakyat Malaysia yang ditahan itu adalah Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 3:33 PM