Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuantan: Remaja lelaki membuat laporan polis mendakwa dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah sebuah motosikal dan wang tunai RM23,000 kononnya anjuran sebuah syarikat stesen minyak terkemuka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintedan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 18 tahun mendakwa turut membuat bayaran sebanyak RM2,320 yang dikatakan sebagai syarat untuk menyertai dan mendapatkan hadiah cabutan bertuah terbabit.

"Mangsa mendakwa menerima pesanan WhatsApp pada 30 Ogos lalu memaklumkan dirinya terpilih untuk menyertai cabutan bertuah anjuran syarikat stesen minyak itu dengan syarat penyertaan perlu membeli kad tambah nilai berjumlah RM400 daripada sebuah syarikat telekomunikasi.

"Tertarik dengan tawaran itu menyebabkan mangsa telah membeli kad tambah nilai berjumlah RM320 dan berkongsi nombor tambah nilai kad tersebut dengan suspek pada hari yang sama," katanya menerusi kenyataan, di sin,i hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa suspek menghantar gambar cek bernilai RM23,000 dan sebuah motosikal dikatakan sebagai hadiah cabutan bertuah milik mangsa pada pagi Rabu lalu.

Suspek, bagaimanapun dikatakan menghubungi mangsa pada petang hari sama, memintanya membuat bayaran sebanyak RM2,000 kononnya sebagai kos penghantaran hadiah yang dijelaskan mangsa semalam, menerusi dua transaksi pemindahan wang secara dalam talian.

Mangsa hanya berasa curiga apabila suspek menghubunginya lagi pada sebelah petang meminta bayaran tambahan kononnya untuk bayaran kos pentadbiran menyebabkan dia terus membuat laporan di Balai Polis Mentakab, Temerloh.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 12:33 PM