Hutan simpan Kuala Langat.
Hutan simpan Kuala Langat.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kerajaan Selangor perlu memberi perhatian dan bersikap lebih sensitif kepada keluh kesah masyarakat Orang Asli sebagai pribumi di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKKLU), yang mendiami kawasan hutan simpan itu sejak 120 tahun lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Muhammad Faiz Na'aman, berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Kerajaan Selangor yang meluluskan penyahwartaan 54 peratus HSKKLU.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan penyusutan jumlah keseluruhan hutan simpan itu ke paras 31 peratus iaitu hampir tahap maksimum terendah 30 peratus ditetapkan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, pelbagai alasan dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menjustifikasikan keputusan menyahwartakan khazanah alam itu termasuk menyatakan sudah meluluskan 581.48 hektar kawasan gantian Hutan Simpan Kekal bagi menebus kawasan HSKKLU yang 'dikorbankan'.

"Wakil dan suara Orang Asli juga tidak dibabitkan dalam perkara ini untuk dijadikan sebagai rujukan atau jurucakap. Malah hal ehwal Orang Asli di Selangor juga bukan diwakili golongan pribumi ini yang mampu menyelami suara hati golongan terbabit," katanya tadi.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) meluluskan penyahwartaan 536.7 hektar HSKKLU walaupun bercanggah keputusan PKR.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pimpinan parti itu sudah memaklumkan kepada Menteri Besar untuk membatalkan penyahwartaan itu sejak tahun lalu.

Katanya, keputusan dibuat kerajaan itu juga belum dimaklumkan kepada pimpinan PKR dan Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor diminta memberi penjelasan berhubung keputusan kontroversi kerajaan negeri itu.

Muhammad Faiz berkata, terdapat kira-kira 2,000 penduduk Orang Asli suku Temuan tinggal di kawasan hutan itu dan mereka menganggap hutan terbabit adalah tanah adat warisan nenek moyang mereka sebagai tempat mencari rezeki.

Katanya, pihaknya tidak mahu pada masa depan, masyarakat Orang Asli akan mendakwa warga Malaysia khususnya golongan Bumiputera lain tidak mengendahkan nasib mereka.

Beliau berkata, pihaknya juga khuatiri sekiranya berlaku provokasi yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk kepentingan politik.

"Kita tidak harus memandang rendah kepada masyarakat Orang Asli kerana mereka lebih mengenali alam semulajadi berbanding kita yang hidup di bandar.

"Mereka lebih faham betapa pentingnya keseimbangan ekosistem yang wajar dilindungi kerana ia memberi kesan kepada komposisi gas, udara, sumber air bersih, mengurangkan suhu panas hingga mampu menangani perubahan iklim secara keseluruhannya," katanya.

Muhammad Faiz berkata, sebarang niat ke arah pembangunan dan kemajuan negara wajar diseimbangkan dengan keperluan spiritual dan hak alam sekitar.

Katanya, sebagai sebuah negeri termaju di Malaysia, Selangor tidak lekang dengan isu pencemaran sungai, banjir kilat, tanah runtuh, dan kejadian ribut yang seringberlaku.

"Mengorbankan tanah dan menafikan hak suara Orang Asli boleh menimbulkan masalah sosio-politik dan sosio-ekonomi dalam jangka panjang kerana wang tidak mampu menggantikan semua perkara sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 6:57 PM