Bahagian ruang tamu sebuah rumah di Kampung Sessang musnah akibat kebakaran pada awal pagi hari ini. FOTO MELVIN JONI
Bahagian ruang tamu sebuah rumah di Kampung Sessang musnah akibat kebakaran pada awal pagi hari ini. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Saratok: Seorang nenek melecur 60 peratus di badan selepas rumah didiami bersama anak, menantu dan dua cucu di Kampung Sessang, di sini, terbakar, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Nazry Mohamat berkata, mangsa, Willmina Marip berusia 70 tahun dikejarkan ke Hospital Sarikei menggunakan ambulans Klinik Kesihatan Nyabor.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian sekitar jam 4.32 pagi dan segera menggerakkan anggota ke lokasi.

"Setibanya di lokasi mendapati kebakaran membabitkan bahagian ruang tamu rumah yang didiami lima sekeluarga menyebabkan seorang daripada mereka melecur 60 peratus di badan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nazry berkata, anak, menantu dan cucu mangsa dikenali Joperi Akup, 54 Sarina Sahari, 51, Faizzatul Alleya Joperi, 19 dan Batrisyia Umairah Joperi, 17, tidak cedera.

Beliau berkata, kebakaran yang memusnahkan 15 peratus rumah terbabit juga berjaya dipadamkan oleh penghuni sendiri dengan bantuan penduduk kampung.

Katanya punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 1:11 PM