ROHIMA Ahmad, 57, dan ibunya Itam Yaakob, 100, terselamat dari kebakaran rumahnya di Kampung Tanjung Bendahara.
ROHIMA Ahmad, 57, dan ibunya Itam Yaakob, 100, terselamat dari kebakaran rumahnya di Kampung Tanjung Bendahara.
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Seorang wanita melecur di muka ketika cuba menyelamatkan jirannya juga warga emas selepas kediamannya di Kampung Tanjung Bendahara, di sini, terbakar, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Saodah Awang, 64, bersama menantu lelakinya yang menyedari rumah jiran mereka terbakar cuba menyelamatkan wanita itu, Itam Yaakob, 100, yang lumpuh sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun Saodah disambar api di bahagian muka ketika cuba menyelamatkan warga emas menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketika kejadian Itam berada di rumah bersama anak, cucu dan tiga cicitnya, namun mereka panik ketika melihat api merebak menyebabkan jiran mereka bertindak membantu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 2.11 petang sebelum menghantar 20 anggota dan pegawai bersama 10 bomba sukarela bagi kerja memadam kebakaran.

"€œRumah terbabit terbakar 100 peratus dan kerja memadamkan kebakaran itu mengambil masa tujuh minit.

"Pasukan Kecemasan dan Menyelamat (EMRS) turut memberi rawatan awal kepada mangsa yang melecur itu," katanya.

Menurutnya, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 5:08 PM