HAZANI ketika lawatan kerja ke IPD Penampang, hari ini. FOTO Juwan Riduan
HAZANI ketika lawatan kerja ke IPD Penampang, hari ini. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Penampang: Penahanan kumpulan militan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan, baru-baru ini tiada kaitan dengan mana-mana ahli politik seperti ditularkan di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, sebaliknya ia disebabkan tindakan pengurusan ladang menggaji pekerja dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Katanya, ia memudahkan ahli Abu Sayyaf melakukan penyamaran di sebalik pekerjaan sebelum merancang kegiatan jenayah terutamanya penculikan seperti berlaku di Beaufort dan Sandakan.

"Ia sebenarnya berpunca daripada tindakan pemilik ladang atau pengurusan syarikat yang mengambil pekerja warga asing tanpa pemeriksaan sepatutnya.

"Oleh itu, saya nasihatkan pemilik ladang supaya tidak hanya mengutamakan keuntungan tetapi juga menjaga perihal keselamatan diri dan negara," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Hazani berkata, syarikat ladang sepatutnya memastikan pekerja yang diambil bekerja mempunyai dokumen sah selain mendapat maklumat lengkap identiti mereka.

Menurutnya, maklumat atau dokumen pekerja yang lengkap boleh dikongsikan dengan pihak berkuasa negara jiran sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Patuhi undang-undang kerana majikan yang gagal melakukan tindakan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 55 Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Insiden membabitkan kumpulan militan Abu Sayyaf sebelum ini tular di media sosial apabila dikaitkan sebagai pengikut kepada seorang ahli politik di negeri ini.

Hazani berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan membabitkan dakwaan itu.

Katanya, orang ramai diminta menghentikan penularan berita tidak sahih berkenaan kerana ia boleh menggusarkan masyarakat di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 4:27 PM