DATUK Hazani Ghazali (tengah) ketika sidang media berkaitan penahanan ketua kumpulan kecil ASG. FOTO Juwan Riduan
DATUK Hazani Ghazali (tengah) ketika sidang media berkaitan penahanan ketua kumpulan kecil ASG. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Lapan warga Filipina termasuk dua ketua kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG) ditahan dalam serbuan di kawasan hutan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort di sini, Sabtu lalu.

Dalam operasi jam 3 pagi itu, polis menahan seramai 37 individu itu selepas disyaki menggunakan resit pengenalan sementara palsu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, serbuan dijalankan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Katanya, operasi khas itu dijalankan berdasarkan perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan negara jiran Filipina.

"Semua individu yang ditahan membabitkan lapan lelaki dan lapan wanita serta 21 kanak-kanak.

"Lapan yang ditahan terbabit dengan kumpulan militan Abu Sayyaf, manakala dua lagi tersenarai sebagai orang dikehendaki kerajaan Filipina," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Hazani berkata, semua individu terbabit dipercayai melarikan diri masuk ke negeri ini berikutan gerakan pasukan keselamatan Filipina membanteras kegiatan kumpulan militan berkenaan di negara jiran.

Katanya, kumpulan berkenaan dikenal pasti hanya terbabit dalam kes pertempuran dengan pihak berkuasa negara jiran dan tidak berkaitan dengan sebarang kes penculikan di perairan negeri Sabah.

"Dua daripadanya adalah tersenarai sebagai orang dikehendaki oleh kerajaan Filipina dan adalah 'sub leader' ASG.

"Mereka pernah terbabit dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Marin Filipina di Bud Bawis Complex, Panama Sulu, pada 2011, 2018, 2019 dan terbaru pada November 2020 serta turut terbabit dalam beberapa kes penculikan warga asing di Filipina.

"Semua individu terbabit ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Katanya, siasatan menjurus kepada beberapa persoalan termasuk sama ada sebarang senjata api dibawa selain sebab utama masuk ke negeri ini.

"Siasatan juga dijalankan bagi mengenalpasti sama ada wujud sel tersendiri membabitkan kumpulan Isis dan Abu Sayyaf Group di Sabah," katanya.

Hazani berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966.

Sementara itu, Hazani berkata, beliau sudah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah supaya memantau kawasan paya bakau ataupun perumahan setinggan bagi mengenalpasti sama ada berkaitan dengan kumpulan ini.

Katanya, semua ketua kampung dan ketua penempatan juga diminta supaya membantu mengenalpasti individu-individu baru yang tinggal di kawasan mereka.

"Di Sabah, kita mengenalpasti sebanyak 624 penempatan setinggan bagi memastikan tiada mana-mana daripada kumpulan ini menjadikannya sebagai tempat bersembunyi.

"Oleh demikian, kita akan memperincikan setiap laluan atau kawasan-kawasan berpotensi bagi memastikan kemasukan kumpulan militan ini dapat dibendung," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 2:23 PM