GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pasukan keselamatan menembak mati dua lelaki disyaki ahli kumpulan pengganas Abu Abu Sayyaf (ASG) dalam kejadian di Pulau Timbang, Sandakan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 5 pagi itu, kedua-dua lelaki ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi khas bagi mengesan kumpulan berkenaan.

Pasukan keselamatan turut merampas senjata api yang digunakan oleh kedua-dua suspek di lokasi kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan akan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, jam 11 pagi nanti.

Difahamkan, kejayaan pasukan keselamatan ini susulan daripada maklumat operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, 8 Mei lalu.

Hasil daripada maklumat itu, pasukan keselamatan menjalankan operasi bagi mengesan beberapa lagi ahli kumpulan Abu Sayyaf.

Pegawai dan anggota polis akhirnya berjaya mengesan dua ahli kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan dan berlaku berbalas tembakan hingga kedua-dua lelaki itu maut di lokasi kejadian.

Pegawai dan anggota keselamatan yang menjalankan operasi semuanya dalam keadaan selamat.

Sebelum ini, seramai lapan individu termasuk dua dalam senarai orang dikehendaki membabitkan kumpulan militan Abu Sayyaf ditahan dalam serbuan di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, 8 Mei lalu.

Susulan daripada itu, siasatan terus giat dijalankan polis sebelum lima lagi ahli kumpulan pengganas terbabit berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan di lokasi sama, 17 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 8:04 AM