ANGGOTA pasukan keselamatan mengawal jalan masuk ke Pos Blau apabila dua kampung Orang Asli dikenakan PKPD bermula Selasa lalu. FOTO RAMLI IBRAHIM.
ANGGOTA pasukan keselamatan mengawal jalan masuk ke Pos Blau apabila dua kampung Orang Asli dikenakan PKPD bermula Selasa lalu. FOTO RAMLI IBRAHIM.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Polis menafikan dakwaan ada Orang Asli lari meninggalkan kampung mereka apabila dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil pemantauan di tiga kampung Orang Asli di sekitar Pos Brooke dan dua kampung di Pos Blau, pihaknya mendapati belum ada kejadian seumpama itu.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan rasmi berhubung perkara itu, tetapi kawalan ketat dipertingkatkan di kampung terbabit.

"Jika kejadian itu berlaku di perkampungan Orang Asli di pos lain, ia bukan di bawah kawalan kami.

"Kami hanya memberi kawalan ketat membabit lima kampung Orang Asli yang dikenakan PKPD sahaja," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu yang menyatakan ada Orang Asli bertindak lari dan meninggalkan kampung.

Tiga kampung dikenakan PKPD di Pos Brooke termasuk Kampung Sendrop, Sengsang dan Jedip WCT yang dijangka tamat, hari ini.

Manakala dua kampung baru dikenakan PKPD bermula 24 Ogos sehingga 7 September di Pos Blau pula adalah Kampung Blau dan Batang.

Sik berkata, pemantauan di kebanyakan komuniti Orang Asli di kampung terbabit mendapati mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, mereka memberi kerjasama baik apabila tinggal di rumah ketika kampung dikenakan PKPD dan tidak melakukan pergerakan secara aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 4:43 PM