Foto hiasan
Foto hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Enam lokaliti di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini sehingga 17 September depan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, lokaliti yang terbabit adalah tiga perkampungan Orang Asli di Temerloh iaitu Kampung Kuala Terbol, Kampung Pian dan Kampung Lubok Wong.

Menurutnya, tiga lagi lokaliti adalah Penjara Penor, Rumah Kongsi Pinggiran Goh di Kuantan dan Sempalit, Mukim Gali di Raub.

"Selain itu, PKPD juga dilaksanakan di Taman Keramat dan Apartmen Angkasa di Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, semua lokaliti dikenakan PKPD selama 14 hari selepas pembentangan penilaian risiko dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, dua perkampungan Orang Asli masing-masing Kampung Batang dan Kampung Blau di Pos Blau, Gua Musang pula dilanjutkan PKPD selama 14 hari lagi.

"PKPD juga dilanjutkan di Kompleks Penjara Bentong termasuk kuatersnya untuk tempoh sama," katanya.

Rodzi berkata, sembilan lokaliti di Kota Kinabalu, Tawau, Beluran dan Telupid yang dikenakan PKPD sebelum ini ditamatkan bermula esok.

Katanya, PKPD juga ditamatkan esok di perkampungan Orang Asli di Pahang dan Taman Nilam di Langkawi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:09 PM