ECONSAVE menghulurkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di Pos Brooke yang terkesan pandemik Covid-19.FOTO Ramli Ibrahim
ECONSAVE menghulurkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di Pos Brooke yang terkesan pandemik Covid-19.FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Nasib 250 keluarga Orang Asli di tiga kampung di Pos Brooke di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mendapat perhatian banyak pihak.

Semalam, mereka menerima sumbangan bakul barang keperluan makanan daripada Pasaraya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) yang berpusat di Kubang Kerian.

Pengurus Besar Econsave Bahagian Cawangan Pantai Timur, Toh Sharin berkata, sumbangan itu dilakukan sebagai tanda simpati kepada masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata, walaupun wabak itu semakin reda selepas mereka menjalani kuarantin kendiri di rumah, keperluan makanan tetap diutamakan.

Katanya, tiga kampung terbabit iaitu Kampung Jedip WCT, Sendrop dan Sengsang masih dikawal ketat petugas keselamatan.

"Kami melakukan perjalanan sejauh 212 kilometer untuk membantu penduduk Orang Asli di tiga kampung di Pos Brooke, yang terkesan pandemik dengan Covid-19.

"Antara barangan disampaikan ialah mi, garam, gula, tepung gandum dan serbuk kopi," katanya ketika ditemui di Pos Brooke, di sini, semalam.

Pelaksanaan PKPD di tiga kampung Orang Asli itu disambung sehingga 26 Ogos ini.

Pada 30 Julai lalu, enam kampung Orang Asli dikenakan PKPD susulan peningkatan kes positif Covid-19 dan pelaksanaan di tiga kampung termasuk Kampung Cekau, Lojing dan Penangau ditamatkan pada 12 Ogos lalu.

Toh Sharin berkata, lebih sebulan lalu, pihaknya turut menghulur bantuan sama kepada peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh yang terkesan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, ia membabitkan 100 keluarga sebaik menerima aduan ada mereka dalam kalangan mereka yang tinggal di rancangan tanah itu memerlukan bantuan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 4:23 PM