ORANG Asli di Kampung Brooke Lama, dekat Lojing, Gua Musang turut berkurung dalam rumah patuh arahan perintah kawalan pergerakan bermula Rabu lalu. FOTO Ramli Ibrahim
ORANG Asli di Kampung Brooke Lama, dekat Lojing, Gua Musang turut berkurung dalam rumah patuh arahan perintah kawalan pergerakan bermula Rabu lalu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


MASYARAKAT Orang Asli di beberapa kampung sekitar Pos Brooke di Gua Musang turut menghentikan aktiviti mencari akar kayu dan memburu di hutan sejak Rabu lalu.

Keputusan itu dibuat bagi mematuhi arahan kerajaan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Penghulu Orang Asli Pos Brooke, Riang Bujang berkata, pihaknya juga bimbang dengan penularan virus Covid-19 dan bersepakat menasihatkan penduduk supaya tidak bebas keluar rumah.

Menurutnya, pemantauan turut dilakukan bagi memastikan setiap keluarga Orang Asli berkurung dalam rumah sepanjang tempoh arahan berkenaan.

“Kebiasaan keluarga Orang Asli sejak awal pagi akan masuk ke hutan untuk mencari rezeki sama ada mencari akar kayu atau memburu tetapi sejak tiga hari ini tidak lagi berbuat demikian.

“Kaum kami turut patuh dengan arahan berkenaan untuk sama-sama mengekang penularan wabak itu,” katanya ketika ditemui di Pos Brooke, Gua Musang, hari ini.

Sementara itu, Penghulu di Kampung Sendrop, Andol Busu Jamin berkata, terdapat Orang Asli yang bekerja di ladang sayur turut berhenti berbuat demikian.

Katanya, kebanyakan ibu bapa juga mengawal anak mereka daripada bermain di luar rumah kerana bimbang dengan penularan virus terbabit.

“Kaum Orang Asli masih ramai belum faham dengan arahan kerajaan dan kes penyakit ini menyebabkan kami terpaksa menjelaskan kepada mereka supaya menjaga kesihatan dan kebersihan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 2:50 PM