KES Covid-19 di kampung Orang Asli di Gua Musang kini terkawal kerana pematuhan SOP ketat. FOTO RAMLI IBRAHIM
KES Covid-19 di kampung Orang Asli di Gua Musang kini terkawal kerana pematuhan SOP ketat. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Penularan wabak Covid-19 dalam kalangan penduduk Orang Asli di kampung pedalaman daerah ini semakin berkurangan dan terkawal.

Ia berikutan kaum itu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan kawalan ketat polis bagi memastikan mereka tidak bebas bergerak.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, berikutan itu tidak ada lagi kampung Orang Asli di Gua Musang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Sebelum ini dua pos kaum itu di Pos Brooke dan Pos Blau dikenakan PKPD kerana peningkatan Orang Asli positif Covid-19 dan mereka dikuarantinkan.

"Apabila mereka menjalani saringan sebaik kampung itu dikawal ketat di bawah PKPD, keadaan kesihatan semakin bertambah baik.

"Tempoh PKPD di Pos Blau sudah tamat selepas bilangan kes positif menurun," katanya.

Sik berkata, penularan Covid-19 di kampung terbabit sebelum ini dipercayai berlaku apabila terdapat Orang Asli yang terkena jangkitan ketika bekerja di kebun sayur.

Menurutnya, PKPD di Gua Musang kini selesai sepenuhnya selepas dilaksanakan di Tanah Tinggi Lojing, Pos Brooke dan Pos Blau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 6:51 PM