ANGGOTA Rela Orang Asli mengawal di sekatan jalan masuk Pos Hendrop kerana mahu kekal pos itu zon hijau Covid-19.FOTO Ramli Ibrahim
ANGGOTA Rela Orang Asli mengawal di sekatan jalan masuk Pos Hendrop kerana mahu kekal pos itu zon hijau Covid-19.FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Masyarakat Orang Asli di Pos Hendrop, dekat sini, membina sekatan bagi mengelak orang luar keluar masuk bagi mengekalkan status zon hijau Covid-19 di penempatan itu.

Pos berkenaan yang terletak di Lojing ketika ini bebas penularan Covid-19 walaupun lapan kampung lain berhampiran dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Hendrop, Kamal Rami berkata, semua penduduk diarahkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain tidak dibenarkan ziarah ke rumah penduduk lain.

Menurutnya, penduduk juga dinasihatkan mengambil ikhtibar daripada penempatan Orang Asli lain berikutan ada kes meninggal dunia akibat Covid-19.

"Sebagai kawalan lebih ketat, kita sepakat membina sekatan sejak lebih sebulan lalu ke Pos Hendrop dan penduduk diminta berkurung di rumah masing-masing.

"Begitu juga pergerakan orang luar tidak dibenar masuk sesuka hati bagi menjaga keselamatan penduduk daripada dijangkiti Covid-19," katanya ketika ditemui di Pos Hendrop, hari ini.

Dalam perkembangan terbaharu, dua lagi lokaliti komuniti Orang Asli etnik Temiar di Kampung Blau dan Kampung Batang di Pos Blau, dikenakan PKPD bermula 21 Ogos lalu sehingga 3 September ini.

Sebelum ini, enam lokaliti Orang Asli termasuk Kampung Jedip WCT, Sengsang, Sendrop, Lojing, Cekau dan Penangau dikenakan PKPD yang berakhir pada 26 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 1:01 PM