SUASANA perkampungan Orang Asli di Kampung Mendrop, Gua Musang, sunyi kerana penduduk mengambil keputusan menjalani kuarantin kendiri sejak hampir sebulan lalu. FOTO RAMLI IBRAHIM
SUASANA perkampungan Orang Asli di Kampung Mendrop, Gua Musang, sunyi kerana penduduk mengambil keputusan menjalani kuarantin kendiri sejak hampir sebulan lalu. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Lebih 100 keluarga Orang Asli di Kampung Mendrop, Pos Brooke, dekat sini, melakukan kuarantin kendiri sejak hampir sebulan lalu kerana bimbang penularan Covid-19.

Ia susulan enam kampung kaum itu yang terletak berjiran dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 30 Julai lalu hingga 26 Ogos ini.

Penghulu Kampung Mendrop, Alang Busu berkata, tindakan itu dilakukan dengan kerjasama semua kerana ingin menghindarkan diri dan keluarga daripada wabak Covid-19.

Menurutnya, mereka yang tinggal berjiran dengan Kampung Sengsang dan Jedip iaitu lokasi ramai mangsa meninggal dunia kerana positif Covid-19.

Katanya, berikutan itu, penduduk mengambil keputusan awal melakukan kuarantin kendiri tanpa dipaksa mana-mana pihak.

"Di sini, kami rasa takut dengan penularan wabak bahaya itu, orang luar tak boleh masuk dan kami duduk di rumah.

"Kami tidak boleh keluar, takut nanti orang datang terutama sekali pekebun yang masuk melalui jalan di kampung kami, lagipun penduduk belum divaksin," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam perkembangan terbaharu, dua lagi lokaliti komuniti Orang Asli etnik Temiar di Kampung Blau dan Kampung Batang di Pos Blau, dikenakan PKPD bermula 21 Ogos sehingga 3 September ini.

Penduduk Orang Asli, Legit Alang, 36, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mempercepatkan program vaksinasi bagi kaum itu.

Menurutnya, penduduk sudah lama mendaftar melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Gua Musang.

"Apabila divaksin dapat mengurangkan sikit risiko jangkitan Covid-19 kerana keadaan kini lebih teruk di sekitar Pos Brooke.

"Kami rasa takut, tidak berani keluar dan hanya berkurung di dalam rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 5:23 PM