ROSLINDA (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Nooraini (empat dari kanan) diperhatikan Natrah (tiga dari kiri). FOTO Ahmad Ismail
ROSLINDA (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Nooraini (empat dari kanan) diperhatikan Natrah (tiga dari kiri). FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail.


“SUAMI kerap berpesan supaya saya lebih berdikari dan tidak sangka itu ucapan terakhir darinya buat kami semua,” kata suri rumah, Nooraini Sudirman, 34, berkongsi kisah pilu bersama arwah suaminya Zorizam Mohd Amin, 42.

Menurutnya, tanggal 27 Januari lalu menjadi detik tidak dapat dilupakan seumur hidupnya apabila arwah Zorizam dilaporkan lemas ketika memancing.

“Suami saya meninggal dunia akibat lemas selepas tergelincir sewaktu memancing di sungai di Kampung Tui, Bukit Kepong Muar 27 Januari lalu.

“Di hari-hari terakhir pemergian suami, dia kerap pesan agar saya lebih berdikari.

“Ketika itu saya beranggapan ia cuma pesanan biasa, namun kini menyedari nasihat arwah itu adalah kata-kata terakhir yang cukup mendalam,” katanya ketika di temui kediamannya di Felda Medoi, Segamat hari ini.

Terdahulu, Nooraini menerima kunjungan Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Segamat yang diketuai pengurusnya, Roslinda Juanis.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail yang menyampaikan cek Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000.

Dalam pada itu, Nooraini yang juga seorang suri rumah melahirkan rasa syukur apabila nasibnya bersama dua anak terus terbela meskipun selepas pemergian suami tercinta, apatah lagi dia mengalami penyakit tyroid selain sakit sendi di beberapa bahagian anggota badannya.

Katanya, sebelum ini dia tidak mengetahui mereka sekeluarga layak menerima faedah pencen penakat oleh PERKESO ekoran suaminya meninggal dunia ketika di luar waktu kerja.

“Saya membayangkan kehidupan kami akan berubah secara keseluruhannya termasuk berusaha mencari pekerjaan demi menyara dua anak berusia lapan dan 10 tahun serta seorang abang yang mengalami masalah kesihatan.

“Kalau nak dikirakan perbelanjaan mereka semua memang tinggi dan saya pula tidak bekerja, namun kini hanya saya sahaja yang menjadi tonggak utama dalam keluarga.

“Saya memang tahu suami kakitangan pencarum PERKESO, namun tidak mengetahui kelayakan menerima faedah kerana suami meninggal dunia akibat lemas ketika memancing,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan suaminya sememangnya menjadi ujian besar dalam hidupnya apabila dia kini harus menggalas tanggungjawab menjadi ketua keluarga.

“Sebelum ini, saya khuatir tidak mampu menghadapi ujian ini kerana tidak bekerja dan perlu menjaga serta menguruskan aktiviti harian anak-anak.

“Dalam pada masa sama, rawatan abang kandung juga harus dipantau sebab arwah suami memang sudah menjaganya sejak dahulu lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Nooraini mengakui, dengan penerimaan faedah PERKESO secara bulanan amat membantu keluarganya.

“Ia memberi manfaat kepada saya dan keluarga dan akan menjadi punca utama rezeki kami empat beranak selepas ini,” katanya.

Selain itu, Nooraini turut menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM 2,000.

Sementara itu, Roslinda Juanis berkata, pencen penakat layak diberikan kepada isteri atau ibu bapa selain pewaris, jika pencarum meninggal dunia di luar waktu bekerja.

“Sebab lain seperti sakit dan lemas serta kematian sebelum mencecah usia 60 tahun layak untuk kiraan caruman,” katanya.

Katanya, kadar pencen penakat adalah antara 50 hingga 65 peratus gaji akhir pencarum bersama majikan terkini, manakala kadar faedah pencen penakat orang tanggungan adalah sebanyak 90 peratus daripada purata gaji dari majikan terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 10:15 PM