FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 1.34 juta transaksi terkumpul membabitkan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu (LMM) di seluruh negara sejak 1 Ogos lalu sehingga semalam.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, urusan pembaharuan LKM dan LMM boleh dilakukan di semua pejabat kaunter JPJ Negeri dan Cawangan, selain melalui Rakan Strategik JPJ sepanjang tempoh pelanjutan sehingga 30 September ini.

Menurutnya, pengenalan Sistem Temujanji dan Nombor Giliran Bersepadu (JPJeQ) juga mula digunakan secara menyeluruh di semua kaunter JPJ di seluruh negara, hari ini.

"Selain itu, inisiatif urus niaga secara dalam talian sudah lama dilaksanakan oleh JPJ melalui Portal mySIKAP khususnya bagi tujuan pembaharuan LMM dan LKM.

"Orang ramai boleh hadir mengambil salinan lesen memandu dan cukai jalan (dokumen terkawal) di mana-mana kaunter JPJ dengan mengemukakan resit pembayaran.

"Malah terdapat 17 kaunter bergerak JPJ dan 51 unit kiosk JPJ disediakan bagi memenuhi kehendak orang awam di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya bersama Rakan Strategik JPJ, iaitu Pos Malaysia Berhad, MyEG Services Bhd (MyEG) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif MyEG Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha, Ketua Pengurusan Saluran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Pos Malaysia Azmil Merican serta Pegawai Eksekutif Puspakom Mohammed Shukor Ismail.

Zailani berkata, terdapat 663 cawangan Pejabat Pos di seluruh negara boleh dikunjungi orang ramai untuk melakukan transaksi JPJ.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor menyebabkan orang ramai gagal berurusan termasuk di cawangan tertentu seperti premis terpaksa ditutup atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain keperluan atau pemberitahuan saat akhir penyelenggaran premis.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan transaksi JPJ pada saat-saat akhir bagi mengelakkan terlepas tarikh akhir lanjutan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 6:26 PM