Baharom Bakar


Kuala Nerus: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengutip RM521,724 bayaran saman melalui kaunter hujung minggu sejak 13 Ogos lalu.

Pengarah JPJ negeri Zulkarnian Yasin berkata, seramai 2,395 orang hadir menyelesaikan bayaran saman di kaunter hujung minggu yang dibuka setiap Jumaat dan Sabtu di semua pejabat JPJ di Kemaman, Besut dan Kuala Terengganu.

Katanya, berdasarkan sambutan itu, kaunter hujung minggu yang dibuka mulai 9 pagi hingga 12.15 tengah hari setiap Jumaat dan mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari setiap Sabtu akan diteruskan.

"JPJ negeri juga menyediakan perkhidmatan bayaran secara pandu lalu bagi memudahkan orang ramai yang menghadapi kesukaran memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu disebabkan tidak dapat menempah slot janji temu secara dalam talian.

"Bagi menyelesaikan masalah dihadapi orang ramai, JPJ membuka kaunter pandu lalu di kawasan tempat letak kereta di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak," katanya selepas merasmikan program Semarak Merdeka dan Pelancaran Perkhidmatan Mobile Drive Thru JPJ, di sini, hari ini.

Zulkarnian (dua dari kanan) mengibarkan jalur gemilang pada Program Semarak Merdeka dan Pelancaran Perkhidmatan Mobile Drive Thru JPJ di kawasan tempat letak kereta di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Zulkarnian (dua dari kanan) mengibarkan jalur gemilang pada Program Semarak Merdeka dan Pelancaran Perkhidmatan Mobile Drive Thru JPJ di kawasan tempat letak kereta di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR

Zulkarnian berkata, perkhidmatan itu disediakan bagi mengelakkan kesesakan pelanggan dalam usaha membantu mengekang penularan Covid-19.

Katanya, perkhidmatan itu juga disediakan bagi memberi peluang kepada orang ramai berurusan tanpa membuat janji temu.

"Antara urus niaga ditawarkan melalui perkhidmatan bayaran pandu lalu adalah pembaharuan lesen memandu, pembaharuan lesen kenderaan bermotor, pembayaran saman tidak termasuk yang disenaraihitamkan dan cetakan dokumen cukai jalan," katanya.

Mengulas mengenai hasil kutipan kompaun dalam tempoh pengurangan sebanyak 70 peratus, Zulkarnian berkata, JPJ negeri berjaya mengutip sebanyak RM42,772 melalui 563 transaksi bermula Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 4:03 PM