GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan saman terhadap pengguna jalan raya yang gagal memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) mulai 1 Oktober hadapan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya tidak akan melanjutkan moratorium bagi pembaharuan lesen itu memandangkan tempohnya sudah mencukupi.

Menurut beliau, pihaknya menyediakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan orang ramai untuk berurusan memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan di premisnya.

Katanya, JPJ juga mengadakan kerjasama dengan rakan strategik seperti Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan MyEG secara dalam talian.

"Selain itu JPJ juga mengadakan sebanyak 17 Kaunter Bergerak (mobile unit) dan 51 unit Kiosk JPJ yang diatur gerak sepenuhnya bagi memudahkan orang ramai berurusan di setiap cawangan seluruh negara," katanya tadi.

Sebelum ini JPJ memberikan tempoh kepada orang ramai untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan LKM sehingga 30 September ini.

Zailani berkata, bermula 13 Ogos lalu, JPJ membuka kaunter di seluruh seluruh negara pada hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu bagi Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor.

Manakala kaunter dibuka pada Sabtu dan Ahad bermula jam 9 pagi hingga 1 petang secara temujanji di negeri- negeri lain

Katanya, Sistem Temujanji dan Nombor Giliran Bersepadu (JPJeQ) akan mula digunakan secara menyeluruh di semua kaunter JPJ di seluruh negara bermula hari ini.

"JPJ akan mengadakan aktiviti pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan dilaksanakan di lapangan bermula 1 Oktober ini.

"Sekiranya masih ada yang belum memperbaharui lesen sehingga 30 September ini, mereka akan dikenakan tindakan saman serta kompaun dan boleh dituduh mengikut Seksyen 26 (1) serta 23 (1) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 8:07 PM