Dr Wee Ka Siong
Dr Wee Ka Siong
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang membuat lawatan kerja secara mengejut di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya, Johor Bahru hari ini kecewa dengan perkhidmatan kaunter yang tidak efisyen.

Beliau yang turun padang tanpa pengetahuan atau notis awal membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada terlalu kuno.

Menurutnya, perkhidmatan itu perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisyen dan tidak menyusahkan rakyat.

"Memang menjadi hasrat saya untuk tidak memaklumkan kepada sesiapa tentang lawatan pagi ini demi membuat verifikasi laporan rasmi yang saya terima daripada pegawai dan kesahihan aduan awam.

"Maka, saya boleh menilainya sendiri. Secara terus terang, saya sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling bangunan JPJ Johor. Saya terus menyiasat punca yang menyebabkan 'queue' yang panjang," katanya menerusi Facebook (FB) hari ini.

Berdasarkan maklum balas, katanya, ada yang memberitahunya kejadian beratur panjang itu berlaku sebab Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak dapat diperbaharui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pejabat Pos.

Menurutnya, ada juga yang mempersoalkan sistem MySikap yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan.

"Daripada empat mesin cetak LMM yang dibekalkan oleh pembekal perkhidmatan, Percetakan Keselamatan Nasional (PKN) hanya dua mesin sahaja yang berfungsi di Pejabat JPJ Johor ini.

"Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN agar segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM.

"Jangan buang masa orang ramai beratur panjang dan berjemur di bawah matahari yang terik. Pihak PKN berjanji akan melakukan tindakan serta-merta," katanya.

Wee berkata, beliau turut menegur warga JPJ Johor agar memantau rapi kesesakan di bangunan itu khususnya pada hari Ahad dan segala kesulitan yang dihadapi bolehlah dilaporkan terus kepadanya.

Menurutnya, beliau juga sudah berikan nombor telefon bimbitnya kepada pegawai JPJ Johor sambil berpesan supaya jangan biarkan orang awam menunggu berjam-jam hanya kerana mahu mendapatkan cetakan LMM.

"Pada waktu yang sama, saya juga mengarahkan Ibu Pejabat JPJ supaya serta-merta mengumpulkan maklumat dari semua Cawangan JPJ, UTC dan Pejabat Pos mengenai prestasi terkini pencetakan LMM dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menggunakan mesin cetak yang dibekalkan oleh PKN," katanya.

Katanya, beliau tidak mahu situasi yang sama di JPJ Johor berlaku di tempat lain yang akhirnya membazir masa rakyat.

Menurutnya, rakyat tentu marah jika terpaksa lari ke sana ke sini untuk urusan LMM atau LKM yang sepatutnya diselesaikan dengan mudah dan cepat.

"Selepas lawatan kerja mengejut ini, saya dapat membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada terlalu kuno (lebih daripada 10 tahun) dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisyen dan tidak menyusahkan rakyat.

"Saya akan cuba sedaya-upaya mengimbangi jurang di antara perancangan JPJ dan aspirasi rakyat. Apa yang penting, perkhidmatan yang diberikan perlulah sentiasa baik, lancar, menjimatkan masa dan memenuhi kehendak orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 6:51 PM