KAEDAH pemunggahan buah sawit lebih cekap mengurangkan proses pengendalian berulang.
KAEDAH pemunggahan buah sawit lebih cekap mengurangkan proses pengendalian berulang.

SEKUMPULAN penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mencipta teknologi merangkumi alat pemunggahan buah tandan segar (BTS) mudah alih yang berupaya mempertingkat usaha pemindahan buah sawit ke dalam lori secara lebih cekap dan cepat.

Ketua Pengarahnya, Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, hasil usaha kumpulan penyelidik diketuai Mohd Ramdhan Mohd Khalid yang bermula sejak 2017, dilancarkan di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi MPOB 2021.

Beliau berkata, teknologi berkenaan merangkumi rekaan casis serta sistem hidraulik bagi pemunggahan muatan daripada jentera pengangkut bersaiz kecil serta mampu mengangkut muatan buah sawit sehingga 400 kilogram.

"Menurut kajian, penggunaan alat ini menyumbang kepada peningkatan operasi pemindahan buah sawit ke dalam lori sehingga 35 peratus lebih cepat berbanding cara manual.

"Kaedah pemunggahan buah sawit lebih cekap mengurangkan proses pengendalian berulang dan kerosakan serta menyumbang kepada peningkatan kualiti minyak," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Parveez berkata, teknologi itu juga mengurangkan beban pekerja ladang bagi aktiviti memunggah BTS.

"Sebelum ini, pekerja perlu berulang kali mengangkat tandan sawit di atas bahu dan terdedah risiko kecederaan dan keletihan jika saiz tandan besar.

"Penggunaan jentera seperti ini antara galakan menarik minat warga tempatan bekerja di ladang sawit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 7:00 AM