JENTERA pemungut buah sawit relai.
JENTERA pemungut buah sawit relai.

KUMPULAN penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya mencipta jentera pemungut buah sawit relai yang cekap dan menjimatkan kos.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, inovasi MPOB itu menawarkan penyelesaian untuk industri sawit yang bergantung kepada kaedah manual bagi mengutip buah sawit relai di ladang.

Beliau berkata, sektor perladangan sawit memerlukan sistem pemungutan buah sawit relai yang praktikal serta mampu menjimatkan kos.

"Teknologi ini mendorong kecekapan lebih tinggi dalam pemungutan buah sawit relai di ladang. Sebagaimana sedia maklum, buah sawit relai mengandungi kandungan minyak tertinggi berbanding kebanyakan buah yang terdapat di tandan.

"Jentera ini mampu memastikan semua buah relai dapat dikutip, meningkatkan pendapatan dan keuntungan ladang yang lebih tinggi kerana kadar pengekstrakan minyak yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, menerusi teknologi itu, buah sawit relai kini dapat dihantar ke kilang dengan peratusan sampah yang rendah.

Teknologi ini turut memastikan kualiti buah sawit yang lebih baik dan membantu mengurangkan masalah pengilangan yang berkaitan dengan kaedah pengumpulan semasa.

Selain itu, pemungutan buah sawit relai dapat dilakukan oleh pemandu yang duduk di atas jentera tanpa menyebabkan pekerja sakit belakang.

Jentera itu turut meringankan beban kerana pekerja tidak perlu membawa beg yang berisi buah sawit relai di sepanjang laluan penuaian.

Katanya, aktiviti penyelidikan yang komprehensif untuk membangunkan teknologi yang sesuai dan efisien dimulakan pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:10 AM