GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zahratulhayat Mat Arif

Ipoh: Saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini seorang wanita dilihat berjalan keluar dari Meru Desa Park, kawasan kediaman bekas EXCO Perak, Paul Yang Choo Kiong, sehari selepas kejadian rogol dilaporkan berlaku.

Ketika ditunjukkan rakaman kamera kamera litar tertutup (CCTV), A Murugiah, 58, yang juga bekas penyelia keselamatan di situ memberitahu terdapat dua pengawal keselamatan bertugas di pondok pengawal sekitar jam 1.15 tengah hari pada 8 Julai 2019, ketika wanita itu dilihat berjalan dan menuju ke jalan utama.

"Wanita itu tinggal di Meru Desa Park tetapi saya tidak tahu siapa dia. Dia dilihat berjalan keluar dari kawasan perumahan dan menuju ke jalan utama," katanya.

Murugiah, saksi ke-20 dalam perbicaraan rogol membabitkan Yong, mengatakan demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Ketika ditanya peguam Yong, Datuk Rajpal Singh bagaimana prosedur ketika seseorang memasuki atau meninggalkan kawasan perumahan itu, Murugiah mengatakan pengawal keselamatan biasanya akan bertanyakan nama mereka dan rumah yang akan mereka pergi.

Ditanya mengapa dia memutuskan untuk berhenti berkerja di situ pada 31 Julai 2019, bulan yang sama dengan kejadian rogol, Murugiah memberitahu dia berhenti secara sukarela.

"Saya berhenti kerana saya tidak berpuas hati dengan pengurusan," kata Murugiah yang hanya bekerja selama 10 bulan di situ.

Ketika ditanya oleh seorang lagi peguam Yong, Salim Bashir mengenai berapa banyak kamera CCTV yang dipasang di kawasan perumahan itu, Murugiah mengatakan terdapat 24 CCTV di situ.

"Terdapat 24 CCTV dipasang tetapi tidak semuanya berfungsi. CCTV juga tidak dipasang sekitar kediaman Yong," katanya.

Saksi lain yang memberi keterangan dalam perbicaraan hari ini ialah rakan Yong, Lee Yeong Wai, 39, yang juga seorang peniaga.

Lee memberitahu mahkamah dia tiba di rumah Yong sekitar jam 8.30 malam pada 7 Julai 2019 iaitu pada hari kejadian rogol dilaporkan berlaku bersama-sama Yong dan isterinya dari Kuala Lumpur ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fitri Sadarudin.

"Sebaik kami tiba, Yong mengajak saya bersembang di luar rumah sebelum saya pulang ke rumah dan sampai kira-kira jam 9.20 malam.

"Perjalanan dari rumah Yong ke rumah saya kira-kira 20 minit," katanya.

Lee juga bersetuju dengan Rajpal bahawa dia tidak melihat pembantu rumah Indonesia ketika dia berada di rumah Yong pada hari Ahad, 7 Julai 2019.

Perbicaraan bersambung pada 27 dan 28 September depan.

Paul Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, di kediamannya di Meru Desa Park antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Paul Yong kali pertama didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini, pada 23 Ogos 2019 ketika beliau memegang jawatan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 5:00 PM