GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Orang ramai boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), termasuk cukai jalan kenderaan persendirian, di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) bermula esok.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif ini sebagai usaha pihaknya meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan.

"Inisiatif ini bertujuan menyediakan kemudahan alternatif selain daripada saluran perkhidmatan sedia ada kaunter dan kiosk JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan Portal mySIKAP JPJ," katanya.

Menurutnya, sejak tahun lalu, Puspakom hanya menerima urusan pembaharuan LKM membabitkan kenderaan barangan dengan berat 7.5 tan ke bawah sahaja.

Katanya, inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat di 39 Puspakom di seluruh negara.

"Fasa awal pelaksanaan pembaharuan LKM hanya akan membabitkan kenderaan persendirian sama ada milik individu atau syarikat.

"Inisiatif ini akan diperluaskan kepada urusan pembaharuan LKM motosikal dan kenderaan e-hailing yang dijangka bermula November ini," katanya.

Orang ramai yang ingin melaksanakan urusan pembaharuan LKM boleh membuat temujanji secara dalam talian di https://lkm-appointment.puspakom.com.my.

"Semua transaksi di kaunter Puspakom adalah secara tunai," katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian khidmat pelanggan Puspakom di 03-51017000, emel customerservice@puspakom.com.my, mesej peribadi di Facebook rasmi PUSPAKOM Sdn Bhd atau Live Chat melalui di www.puspakom.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 5:43 PM