ANTHONY Loke (dua kanan) meluangkan masa melihat sendiri pelaksanaan perbaharuan Lesen Memandu Malaysia (LLM) selama 10 tahun di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan FOTO Ahmad Hasbi
ANTHONY Loke (dua kanan) meluangkan masa melihat sendiri pelaksanaan perbaharuan Lesen Memandu Malaysia (LLM) selama 10 tahun di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Seremban: Pelaksanaan permohonan memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh maksimum 10 tahun bermula hari ini, mendapat sambutan luar jangkaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, orang ramai mula beratur panjang seawal jam 8 pagi di kaunter Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan di sini, bagi memperbaharui LMM.

Bagaimanapun menurutnya, pemohon yang sudah tamat tempoh LMM dan membuat permohonan baharu tadi dikenakan caj pelarasan sebanyak RM30.

"Saya beri jaminan kepada rakyat Malaysia, mana-mana pemegang lesen yang mahu memperbaharui LMM selama 10 tahun tidak akan berdepan masalah.

"Mereka hanya perlu pergi ke kaunter JPJ untuk membuat permohonan. Orang ramai akan dapat memperbaharui lesen mereka selama 10 tahun dalam kadar segera," katanya ketika melawat JPJ Seremban di sini, tadi.

Anthony sendiri turut memperbaharui LMM miliknya selama tempoh 10 tahun tadi, turut meluangkan masa melihat proses pelaksanaan dasar baharu itu.

Beliau berkata, pembaharuan LMM 10 tahun itu hanya boleh dilakukan di kaunter JPJ sahaja atau melalui Kiosk JPJ menerusi aplikasi MyJPJ.

Katanya, buat masa ini pembaharuan LMM di kaunter Pos Malaysia belum dapat dilaksanakan berikutan sistem komputer Pos Malaysia berbeza dengan sistem JPJ.

"Bagi proses memperbaharui LMM selama 10 tahun, orang ramai diberikan diskaun dan hanya dikenakan caj RM270 sahaja. Namun bagi LMM sudah tamat tempoh sebelum tarikh hari ini, mereka akan dikenakan caj pelarasan sebanyak RM30," katanya.

Media pada 3 Mei lalu melaporkan orang ramai boleh memperbaharui LMM masing-masing untuk tempoh maksimum 10 tahun, berbanding had lima tahun pada masa ini.

Anthony dilaporkan berkata itu antara dua inisiatif pembaharuan LMM dilaksana Kementerian Pengangkutan yang boleh diambil peluang orang ramai mulai semalam di pejabat atau kaunter JPJ sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 2:46 PM