Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Tidak kisah berpanas dan berpeluh di bawah terik mentari, Mohamad Zulfazli Mohamad Arifin, 28, mengakui mula 'jatuh cinta' dengan bidang pertanian sejak empat tahun lalu.

Walaupun jauh tersasar daripada kelulusan pengajiannya, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi Maritim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu bangga kerana menceburi bidang pertanian selepas berhempas pulas dan gagal mendapat pekerjaan.

"Bermula dengan modal RM15,000 hasil bekerja sementara di Singapura, saya mengusahakan tanaman timun di tanah seluas 0.3 hektar.

"Alhamdulillah, berkat kesabaran, kini ladang pertanian saya bertambah luas lebih dua hektar dengan pelbagai jenis tanaman.

"Kesemua tanah ini disewa di kawasan penempatan saya dengan bayaran RM300 sehingga RM700 sebulan, namun ia berbaloi apabila hasil pertanian juga menjadi berkat kegigihan dan usaha saya sepanjng bergelar petani.

"Selain timun biasa serta timun Baby, saya turut mengusahakan tanaman peria, cili dan petola selain mempunyai 10 pekerja untuk membantu menguruskan ladang yang terdiri daripada anak muda tempatan di kampung ini," katanya ketika ditemui di kebun timun miliknya di Kampung Kubang Palas, Banggu, di sini, baru-baru ini.

Mohamad Zulfazli yang juga anak kedua daripada enam adik beradik berkata, selain mengikuti pelbagai kursus pengurusan pertanian, dia turut menimba ilmu dengan sahabat dan juga 'orang lama' yang sudah biasa mengusahakan hasil pertanian.

"Banyak ilmu baru yang saya perolehi dalam bidang pertanian kerana setiap tanaman mempunyai cara penjagan tersendiri bagi memastikan hasil sayur-sayuran yang dikeluarkan berkualiti tinggi.

"Setakat ini, hasil tanaman saya dihantar ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini. Bagaimana pun, sejak kebelakangan ini saya juga terkesan dengN pandemik Covid-19 yang menyebabkan jualan hasil tani berkurangan.

"Justeru, saya mengmbil inisiatif lain dengan menghasilkan kerepek peria dan sambil bilis yang diproses sendiri oleh isteri saya, Aina Fatini Md Rizan, 24, bagi mengelak berlaku pembaziran," katanya yang turut dibantu adiknya, Mohamad Shah Idhan, 21.

Selain itu, Mohamad Zulfazli turut berkongsi perancanganya untuk menghasilkan jeruk timun pada masa akan datang sebagai inisiatif jika berlaku lambakan sayur berkenaan.

Tambahnya, dia turut menasihati anak muda lain untuk keluar daripada kepompong dan mencuba bidang pertanian kerana ia bukan sahaja menjadi satu ibadah malah dapat memberi pendapatan lumayan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 12:16 PM