MOHD Zuhri memeriksa timun tua.
MOHD Zuhri memeriksa timun tua.
Roselan Ab Malek

Keyakinan terhadap sektor pertanian yang mampu memberi pendapatan lumayan mendorong siswazah, Mohd Zuhri Josoh, 26, menceburkan diri dalam bidang berkenaan sejak enam tahun lalu.

Pemegang Diploma Pengurusan Ladang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang ini tidak menoleh ke belakang dengan mengusahakan pelbagai projek tanaman.

Antara tanaman yang diusahakan secara bergilir-gilir ialah tembikai wangi (rock melon), timun, timun tua, cili dan terung mini menggunakan kaedah sistem fertigasi.

Beliau menyewa tapak di Pusat Pertanian Temin, Jerantut dan setakat ini menanam 4,000 beg semaian timun tua di bawah rumah pelindung hujan (RPH).

Menurutnya, dia berhasrat menambah kepada 10,000 beg semaian kerana timun tua mendapat permintaan tinggi di pasaran selain harga yang baik.

PELAJAR Pengurusan Ladang, UiTM Jengka yang membuat latihan turut membantu Mohd Zuhri.
PELAJAR Pengurusan Ladang, UiTM Jengka yang membuat latihan turut membantu Mohd Zuhri.

“Walaupun menghadapi pelbagai dugaan seperti harga jatuh dan pokok tidak menjadi, namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus maju dalam bidang pertanian ini. Jatuh bangun adalah asam garam dalam apa jua bidang yang diceburi bukan pertanian saja.

“Apa yang penting kita perlu terus berusaha dan segala masalah itu dianggap sebagai cabaran,” kata bapa kepada seorang anak ini.

Mohd Zuhri berkata, beliau memulakan projek tanaman lada merah secara fertigasi dalam skala kecil di tapak Pertanian Temin, dengan modal pusingan RM5,000 pada 2013.

Anak kelahiran Batu Balai, Jerantut ini berjaya dalam percubaan pertamanya kerana projek itu memberi pendapatan lumayan sekali gus mencetus semangat untuk terus aktif dalam bidang pertanian.

Daripada situ, beliau terus mencuba pelbagai tanaman lain bagi mencari pengalaman baru dan kepuasan diri sekali gus menutup mulut rakan sekampung yang sebelum ini mempertikai keputusannya serta menidakkan kebolehannya untuk berbakti kepada tanah.

Mohd Zuhri berkata, menanam timun tua memerlukan perhatian rapi khususnya kelembapan tanah dalam beg semaian.

ANTARA pelajar Pengurusan Ladang, UiTM Jengka yang membuat latihan di kebun Mohd Zuhri.
ANTARA pelajar Pengurusan Ladang, UiTM Jengka yang membuat latihan di kebun Mohd Zuhri.

“Setiap dua jam pokok perlu disiram supaya timun mengeluarkan hasil yang berkualiti. Jika air atau baja tidak mencukupi, daun menjadi kekuningan dan buah akan menjadi bengkok sekali gus menyebabkan grednya rendah.

“Hanya buah timun yang berkualiti saja digred tinggi dan dijual pada harga yang tinggi sementara buah yang bengkok digredkan rendah serta sukar untuk dipasarkan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi moden seperti fertigasi dapat mengurangkan penggunaan kawasan yang luas, banyak tenaga buruh dan pengurusan masa yang teratur.

“Semua hasil timun tua dihantar ke Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Jerantut dan Pasar Borong Selayang selain dijual secara runcit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 3:27 PM