PEGAWAI Pertanian Daerah Kuantan, Amir Dzulfadli Samad (kiri) membuat pemantauan kebun Ramli.
PEGAWAI Pertanian Daerah Kuantan, Amir Dzulfadli Samad (kiri) membuat pemantauan kebun Ramli.
Ainal Marhaton Abd Ghani

Bermula dengan berkebun di tanah terbiar ketika zaman sekolah rendah, kini Ramli Idros, 57, berjaya mengusahakan ladang sayur seluas 16 hektar di kawasan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Pulau Manis, Kuantan, Pahang, sejak 1993.

Ladang itu kini dipenuhi sayur-sayuran seperti peria, petola, timun, kacang panjang dan cili secara berselang-seli dengan keluasan antara 2.4 hingga 3.2 hektar untuk setiap jenis tanaman.

Ramli berkata, pada peringkat awal menyertai projek itu, dia dibekalkan kawasan seluas 3.2 hektar membabitkan tanaman sawi, kangkung dan bayam dengan bantuan enam pekerja.

“Sejumlah 3.2 hektar pula diperuntukkan untuk tanaman peria sementara petola, kacang panjang dan timun masing-masing seluas 2.4 hektar. Hasilnya boleh dikutip antara 30 hingga 50 hari setiap pusingan dengan anggaran antara 80 dan 100 tan sehari.

“Harga ladang pula antara 50 sen hingga RM2.50 sekilogram untuk setiap jenis tanaman dan ia bergantung kepada harga pasaran semasa sekali gus mampu menjana pendapatan mencecah enam angka sebulan,” katanya yang berasal dari Kampung Padang.

Beliau berkata, bahagian kawasan yang masih kosong pula digunakan untuk tanaman lain selepas melalui proses membajak dan menyemai anak benih dalam tempoh sebulan.

Hasil kesungguhan selepas 30 tahun memerah keringat berkecimpung dalam dunia perniagaan itu membolehkan Ramli memiliki lima traktor, dua kenderaan pacuan empat roda (4x4), empat jentera meracun serangga dan lima pam air.

“Saya dikira agak beruntung kerana tidak pernah membuat pinjaman sebaliknya bayaran dibuat secara kredit selain menggunakan wang simpanan hasil berniaga.

“Malah, saya juga turut menerima bantuan benih, baja, racun, khidmat nasihat dan sokongan moral daripada Jabatan Pertanian Daerah Kuantan.

“Pegawai pertanian pula akan ke tapak projek secara berkala untuk memantau perkembangan kebun,” katanya yang pernah berniaga sayur di Pasar Borong Kuantan itu.

PEKERJA sedang mengutip hasil tanaman.
PEKERJA sedang mengutip hasil tanaman.

Menurutnya, masalah penyakit dan serangga perosak boleh diatasi dengan kaedah meracun kecuali jika berlaku musim kemarau atau tengkujuh.

“Pekebun perlu bijak ‘mengukur’ masa dan keadaan cuaca untuk memulakan proses menanam hingga mengutip hasil,” katanya.

Beliau yang mempunyai 30 pekerja itu pernah bekerja di kebun sayur milik seorang tauke berbangsa Cina dengan upah RM12 sehari ketika usia 15 tahun sebelum menjadi pemandu traktor selama 10 tahun di Jabatan Pertanian Bukit Goh.

“Saya teruskan minat berkebun dengan mengusahakan kawasan terbiar di Jabatan Pertanian itu dan di kawasan seluas 1.6 hektar di Kampung Padang sebelum menyertai TKPM pada usia 30 tahun.

“Semua pengalaman yang saya peroleh dijadikan panduan untuk menjayakan projek di TKPM dan inilah hasilnya,” katanya yang memperuntukkan modal RM30,000 untuk projek pertamanya di TKPM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 3:28 PM