AZHAR. FOTO BERNAMA
AZHAR. FOTO BERNAMA
Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan mengeluarkan surat pemakluman kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Parlimen kepada Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan artikel disiarkan sebuah portal berita itu adalah palsu.

"Saya menafikan laporan berita berkenaan dan ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah keluarkan apa-apa surat kepada Perdana Menteri seperti yang dilaporkan.

"Berita berkenaan adalah berita palsu," katanya merujuk satu artikel berita bertajuk 'Perdana Menteri Terima Surat Speaker Maklum Tiada Majoriti, Mahu Bubar Parlimen' seperti disiarkan portal berita berkenaan hari ini.

Pada 27 Julai lalu, Azhar turut menafikan laporan sebuah portal berita bahawa beliau ada menerima surat permintaan daripada empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menukar tempat duduk di Dewan Rakyat.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya laporan berita berkenaan dan menyifatkan ia satu pembohongan dan fitnah terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 1:33 PM