Maiamalina Mohamed Amin dan Suraya Roslan


PENANGGUHAN kes mahkamah Datuk Seri Najib Razak untuk membolehkan beliau hadir ke Dewan Rakyat bagi membahaskan titah diraja, Khamis lalu, dipersoalkan Ahli Parlimen pembangkang.

Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) meminta penjelasan Yang Dipertua (YDP) Datuk Azhar Azizan@Harun selepas membaca laporan media bahawa Azhar ada menulis surat kepada Hakim Mahkamah Tinggi memohon pelepasan buat Najib.

"Apakah keperluan menulis surat ke mahkamah meminta tangguh prosiding, sedangkan gilirannya berbahas boleh ditangguhkan?" Katanya.

Menjawab itu, Azhar berkata, beliau menggunakan budi bicara sebagai YDP dan memohon pertimbangan hakim untuk Najib datang ke Parlimen pada sebelah petang.

"Keperluannya (saya menulis surat) ialah Yang Berhormat Pekan perlu membahaskan usul titah diraja dan gilirannya pada 3.40 petang. Saya difahamkan beliau ada meminta penangguhan (kepada mahkamah) untuk hadir ke Parlimen tetapi dinafikan.

"Kita ini ada doktrin agihan kuasa, yang mana kuasa-kuasa Mahkamah, Eksekutif dan Parlimen itu sama. Di United Kingdom (UK), Parlimen adalah Supreme, kuasa paling atas, di sini (Malaysia) semua sama.

"Dan saya berpendapat bahawa slot YB Pekan ketika itu, jadi saya memohon pertimbangan Yang Arif Hakim agar mempertimbangkan permohonan untuk beliau datang ke Parlimen. Itu saja, saya tak perintah (hakim) atau apa-apapun," katanya.

Apabila Chang masih mempersoalkan keperluan menulis surat itu, Azhar dengan tegas menjawab, beliau tidak mengarahkan Hakim untuk menangguhkan prosiding kes mahkamah Najib pada hari itu.

"Saya hanya memohon pertimbangan Yang Arif saja. Sebelum ini pun ada Ahli Parlimen yang diberi penangguhan (kes mahkamah) lama kerana menghadiri Dewan Rakyat," katanya.

Minggu lalu, Hakim Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan lisan yang dibuat peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menamatkan prosiding pada Khamis kira-kira jam 1.30 tengah hari supaya bekas Perdana Menteri itu boleh menghadiri sidang Parlimen.

Bagaimanapun, pada Khamis lalu, peguam Najib kemudian mengemukakan surat daripada Azhar sebelum Collin memutuskan meneruskan prosiding semasa waktu rehat makan tengah hari dan menghentikannya pada 3.15 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 12:47 PM