Hospital Medan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Hospital Medan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Bilangan kes bergejala yang dimasukkan ke hospital menjadi antara indikator baharu kepada peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan dan pengalaman antarabangsa serta domestik.

Menurutnya, keputusan itu juga berdasarkan penelitian bahawa risiko penularan Covid-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

"Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu ini mempertimbang dan memutuskan untuk menggunakan indikator baharu iaitu bilangan kes kemasukan hospital baharu yang bergejala sebagai salah satu daripada indikator peralihan fasa PPN.

"MPN juga memutuskan bahawa indikator itu hanya akan menggantikan indikator sedia ada iaitu bilangan kes Covid-19 harian baharu, apabila vaksinasi sesebuah negeri di dalam fasa satu PPN mencapai kadar sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

"Penanda aras bagi kes bergejala yang digunakan adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital bagi jumlah kes pesakit kategori tiga hingga lima," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penilaian peralihan fasa tertakluk kepada keperluan memenuhi kesemua indikator termasuk penggunaan kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

"Sebagai contoh bagi Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Melaka yang masih berada di fasa satu, apabila mencapai kadar vaksinasi 50 peratus, indikator kes akan digunapakai ialah kes kemasukan hospital baharu bergejala.

"Negeri berkenaan hanya boleh beralih ke fasa dua jika mencapai nilai ambang kes kemasukan hospital baharu yang bergejala (6.1 per 100,000 penduduk) dan tahap kapasiti penggunaan ICU sederhana," katanya.

Tengku Zafrul berkata, keputusan juga diambil selepas risiko penularan dilihat terkawal di negeri Sarawak dan Labuan dengan pengurangan ketara kes bergejala dan yang memerlukan rawatan di wad ICU.

Katanya, walaupun kedua-dua negeri itu berdepan penggunaan kapasiti wad ICU penuh semasa Jun lalu, namun kadar vaksinasi mencecah 50 peratus pada Julai dan penggunaan kapasiti wad ICU juga mencapai tahap mencukupi.

Justeru, beliau berkata, penilaian risiko bagi mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan

sosial akan lebih tepat berasaskan kepada bilangan kes bergejala kategori tiga hingga lima berbanding jumlah kes harian.

Tambah beliau, penggunaan nilai indikator baharu itu akan dapat menambahbaik penilaian risiko dalam mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial dalam konteks peralihan fasa PPN.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 8:32 PM