Mohd Khidir Zakaria

Rantau: "Sudah tujuh tahun saya tidur atas kerusi roda, rindu rasanya nak tidur atas katil," kata warga emas, Khiri Othman, 65, ketika ditemui di rumahnya di Jalan Besar, di sini, semalam.

Katanya, dia mengalami penyakit angin ahmar sejak 2013 dan sejak itu dia hanya mampu duduk di atas kerusi roda yang kini sangat uzur.

Dia dijaga isteri, Rodzi Kassim, 51, yang setia menemaninya memandangkan mereka tidak dikurniakan anak sejak berkahwin pada 1999.

"Namun, isteri mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulu yang kini tinggal di Kuala Lumpur dan sudah berkahwin.

"Kehidupan kami mula berubah selepas terkena serangan angin ahmar, selain pelbagai penyakit termasuk darah tinggi.

"Namun, kejadian saya terjatuh di dalam rumah tiga tahun lalu yang menyebabkan kaki patah memburukkan lagi keadaan," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan kerusi roda boleh laras daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9), di rumahnya di sini.

Sementara Rodzi berkata, dunia suaminya hanya di atas kerusi roda dan kehidupan mereka hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350, serta Baitulmal berjumlah RM250 untuk membayar sewa rumah sebanyak RM350 sebulan.

KHIRI (kanan) hanya duduk di atas kerusi roda diurut isterinya, Rodzi ketika ditemui di rumahnya di Jalan Besar, Rantau. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KHIRI (kanan) hanya duduk di atas kerusi roda diurut isterinya, Rodzi ketika ditemui di rumahnya di Jalan Besar, Rantau. FOTO Mohd Khidir Zakaria

"Dulu saya menjual air di depan rumah tetapi sejak wabak Covid-19 melanda, saya hilang punca pendapatan.

"Nak harapkan anak, dia pun sudah berkeluarga dan hanya cukup untuk perbelanjaan mereka sahaja, jadi kami hanya pasrah dan berserah kepada nasib," katanya.

Menurutnya, mereka pernah terputus bekalan makanan dan terpaksa meminjam duit daripada jiran.

"Bayangkan, dari jumlah bantuan sebanyak RM600 daripada JKM dan Baitulmal, hanya cukup untuk membayar sewa rumah serta bil utiliti dan bakinya saya beli barangan dapur.

"Terima kasih kepada Perkasih N9 yang bersimpati dengan nasib kami suami isteri dan memberi sumbangan barangan dapur termasuk kerusi roda boleh laras untuk kegunaan suami," katanya sebak.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya cuba membantu bagi meringankan beban pasangan ini.

"Sumbangan kerusi roda ini adalah hasil sumbangan orang ramai untuk keselesaan warga emas itu kerana kerusi roda sedia ada terlalu daif dan perlu diganti.

"Mereka tiada telefon bimbit dan mereka yang berhasrat membantu boleh menghubungi saya di talian 012-9805132," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 2:37 PM