GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan geng Kok Chung yang dipercayai aktif dalam kegiatan curi kenderaan dengan penahanan empat lelaki menerusi beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, sejak Isnin hingga Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, suspek berusia 38 hingga 49 tahun dan dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kenderaan di sekitar Brickfields, Cheras, Petaling dan Dang Wangi itu ditahan bersama beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan, telefon bimbit serta pelbagai komponen kenderaan.

Beliau berkata, tujuh kenderaan yang dilaporkan hilang tahun ini di kawasan Cheras, Petaling Jaya, Dang Wangi dan Bandar Kinrara berjaya ditemukan susulan tangkapan itu.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak Mac tahun ini dengan mensasarkan kereta buatan tempatan untuk dijual kepada pemilik bengkel kereta yang dikenali," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini hari ini.

Basri berkata, semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 6:08 PM