ANGGOTA polis memeriksa kereta mangsa di Kampung Nyior Paka.
ANGGOTA polis memeriksa kereta mangsa di Kampung Nyior Paka.
Rosli Ilham

Dungun: Jurutera ditemui meninggal dunia tidak jauh dari rumahnya di Kampung Nyior, Paka, dekat sini, selepas pulang daripada bermain badminton jam 9.30 malam, semalam.

Juriza Muda, 36, yang bekerja di sebuah syarikat pemprosesan minyak di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman ditemui terbaring bersebelahan Proton Wira miliknya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa ditemui dua anggota Balai Polis Paka yang ketika itu melakukan rondaan cegah jenayah.

“Ketika meronda, anggota mendapati lampu Proton Wira terbabit terpasang selain pintu terbuka. Sebaik menghampiri kereta, anggota kami ternampak mangsa terbaring bersebelahan pagar rumah dalam pembinaan.

“Lokasi itu tidak jauh dari kediaman mangsa,” katanya.

Baharudin berkata, anggota perubatan yang bergegas ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 11:25 AM