Allahyarham Kuzaini bersama isteri dan tiga anaknya. Foto Ihsan Nor Azean Ahmad
Allahyarham Kuzaini bersama isteri dan tiga anaknya. Foto Ihsan Nor Azean Ahmad
Samadi Ahmad

Putrajaya: "Hasrat suami untuk memberi kejutan sempena hari jadi saya tidak tercapai selepas arwah terlebih dahulu dijemput Ilahi," kata Nor Azean Ahmad, 44, balu kepada Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Allahyarham Kuzaini Hamidon.

Allahyarham Kuzaini, pegawai khas yang mengendalikan Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi', Cyberjaya 10 meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada Khamis lalu.

Allahyarham dimasukkan ke hospital pada Rabu selepas rebah di kediamannya di Puchong Perdana dan disahkan meninggal dunia pada 2.45 pagi ketika menerima rawatan.

Nor Azean, seorang kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata, pemergian suaminya itu menjadi kejutan besar kepada dirinya yang menyambut hari jadi pada Rabu.

Menurutnya, anak sulungnya, A'afy Syaabani, 20, ada memaklumkan Allahyarham merancang mahu memberi kejutan kepadanya dengan menghadiahkan kek viral berisi duit.

"Walaupun hajat arwah tidak tercapai, saya tetap bersyukur kerana dapat berbakti sehingga ke penghujung hayatnya dengan membantu mengejarkannya ke hospital," katanya.

Menurut Nor Azean, walaupun pemergian suaminya bukan disebabkan Covid-19 namun mereka sekeluarga berbangga kerana Allahyarham dapat melaksanakan tanggungjawab besar dalam membantu masyarakat yang berhadapan pandemik itu.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 10:29 AM