Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital di Lembah Klang meningkat 33 peratus selaras dengan peningkatan kes di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 6,427 pesakit berada dalam hospital, 2,685 berada dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-10 (PKRC) dan 659 lagi berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di tiga negeri berkenaan.

Katanya, bilangan kemasukan pesakit baru ke hospital di Lembah Klang meningkat sebanyak lebih 33 peratus berbanding tempoh dua minggu lalu.

"Lebih 1,000 pesakit dimasukkan ke hospital setiap hari. Dashboard CPRC Hospital System juga menunjukkan bilangan pesakit yang menunggu bagi mendapatkan rawatan di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah tinggi.

"Beberapa langkah sudah dilakukan di bawah seliaan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley termasuk mewujudkan katil tambahan termasuk hospital medan di luar kawasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta mewujudkan katil-katil tambahan di hospital seperti Hospital Selayang dan Hospital Serdang," katanya menerusi Facebook.

Hospital Medan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Hospital Medan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. FOTO FAIZ ANUAR

Beliau berkata, pada masa sama, PKRC MAEPS juga dipertingkatkan kapasitinya bagi memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan oksigen.

Menurutnya, hospital yang berfungsi sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Kapasiti katil hospital tambahan yang dipertingkatkan untuk tempoh dua minggu lepas adalah 2,884 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan jumlah ini akan meningkat melalui langkah yang sedang dilaksanakan.

"Kadar vaksinasi di Lembah Klang akan terus dipercepatkan bagi mengurangkan pesakit yang dijangkiti dengan gejala yang serius," katanya.

Beliau berkata, pemantauan kemasukan pesakit dan kapasiti hospital dilakukan melalui CPRC Hospital System, www.cprchospital.moh.gov.my dan data yang berkaitan dikongsi melalui GitHub MOH https://github.com/MoH-Malaysia/covid19-public.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 5:17 PM