Adham Baba
Adham Baba
Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk tidak meneruskan pembukaan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sebaliknya akan mengoptimumkan penggunaan katil di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM).

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, ini kerana pihaknya melihat keupayaan HATTM lebih baik berbanding hospital medan yang dinyatakan sebelum ini.

Mohd Shafiq berkata, pada masa sama, KKM akan membuat penambahan unit katil baharu di HTAR bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 di sekitar Lembah Klang.

"Kita pindahkan hospital (hospital medan) itu ke Hospital Tuanku Mizan (HATTM). Kita akan optimumkan penggunaan sumber yang ada, sehingga kini terdapat 150 katil di hospital berkenaan.

"Jadi kita memutuskan untuk tingkatkan sumber sedia ada dengan penambahan katil baharu di HTAR, ini kerana kita melihat keupayaan HATTM lebih baik berbanding hospital medan berkenaan," katanya kepada pemberita ketika sidang media berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi KKM bagi menguruskan pandemik Covid-19 di Lembah Klang, di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan satu lagi pembukaan hospital medan di HTAR bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di Selangor.

Sementara itu, Dr Adham berkata, KKM kini sedang giat melaksanakan penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta (decanting) yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti katil di hospital awam.

Memperincikan mengenai proses penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 itu, Dr Adham berkata, pesakit yang tidak dijangkiti akan dihantar ke hospital swasta berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Jadi bila kita 'decant' pesakit bukan Covid-19 ini ke hospital swasta, lebih banyak katil yang kita boleh sediakan bagi merawat pesakit Covid-19. Hospital yang terbabit dalam penyumberluaran ini termasuklah negeri yang berhampiran dengan Lembah Klang iaitu Melaka, Perak, Pulau Pinang, Johor selain di Sarawak.

"Bagaimanapun, proses penyumberluaran hanya membabitkan hospital yang merawat Covid-19 di Selangor yang merangkumi Hospital Ampang; Hospital Serdang; Hospital Shah Alam; Hospital Kajang; Hospital Banting; Hospital Tengku Ampuan Rahimah; Hospital Selayang; Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia.

"Hanya hospital yang dinyatakan ini terbabit dalam proses penyumberluaran pesakit bukan Covid-19, ia tidak membabitkan hospital daerah. Namun, sekiranya hospital berkenaan penuh, kita akan menggunakan hospital daerah ini," katanya.

Dr Adham berkata, sehingga kini sebanyak 112 hospital swasta sudah menyatakan kesudian untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital mereka membabitkan 1,277 katil dan 129 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Daripada jumlah berkenaan, di Selangor jumlah katil yang diterima adalah sebanyak 383 katil dan setakat ini 122 pesakit sudah dirawat menjadikan peratusan penggunaan katil sudah mencecah 70 peratus.

"Selain itu di Kuala Lumpur sebanyak 202 katil diterima dan sudah 107 pesakit kini dirawat di hospital swasta iaitu 76 peratus penggunaan katil sudah digunakan.

"Peratusan penggunaan katil swasta yang digunakan di negeri lain pula ialah, Pulau Pinang dengan 35 peratus; Johor (29 peratus); Pahang (17 peratus); Melaka (10 peratus); Perak (enam) dan Negeri Sembilan (lima peratus)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 10:37 AM