Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Kerajaan akan menyambung kontrak pegawai perubatan dan menambah jumlah sukarelawan untuk ditempatkan di hospital seluruh negara yang berdepan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan memahami situasi semasa apabila ramai petugas kesihatan mengalami keletihan apabila kes Covid-19 masih tidak turun.

Katanya, bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi, pelbagai usaha dan inisiatif diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ramai (petugas kesihatan) yang tengah berjuang dan bergelumang dengan Covid-19, tetapi kes tidak turun sehingga menyebabkan (mereka) keletihan.

"Bagi meredakannya, kebanyakan pegawai perubatan kontrak akan disambung lagi kontrak mereka dan bilangan sukarelawan akan ditambah untuk membantu hospital-hospital yang berdepan dengan peningkatan kes mendadak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai petugas barisan hadapan khususnya di Lembah Klang yang kini keletihan berikutan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di kawasan itu.

Terdahulu, Dr Noor Azmi mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium Kepala Batas, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam sidang media ketika hadir melakukan tinjauan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Millenium Kepala Batas di sini. FOTO DANIAL SAAD
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam sidang media ketika hadir melakukan tinjauan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Millenium Kepala Batas di sini. FOTO DANIAL SAAD

Berhubung peningkatan kes mendadak di Lembah Klang, katanya, hospital medan akan dibina di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang termasuk menambah bilangan katil dan pegawai perubatan.

"Pada masa ini, kerajaan sudah buat tindakan pantas dan cepat dengan memperkasakan Hospital Covid, Hospital Hibrid, Hospital Universiti dan juga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) apabila menambah bilangan katil, unit rawatan rapi (ICU), meningkatkan peralatan perubatan dan menggerakkan kakitangan berpengalaman bagi merawat pesakit.

"Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mewujudkan hospital medan di lokasi berlaku peningkatan kes mendadak," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, kerajaan sedaya upaya mengurangkan kes Covid-19 dan meningkatkan pemberian vaksin sekali gus dapat mencapai 80 peratus imuniti kelompok seperti ditetapkan.

"Sebelum ini sasaran pemberian dos vaksin diletakkan pada 300,000 dos sehari dan semalam dalam sejarah apabila suntikan vaksin di seluruh PPV mencapai 370,000 dos.

"Ini satu perkembangan positif dan kita kini boleh ke arah pemberian 400,000 dos sehari tambahan pula beberapa negeri sudah berada di akhir fasa kedua (membabitkan warga emas) yang dalam beberapa masa lagi dijangka masuk ke fasa ketiga melibatkan semua individu berusia 18 tahun ke atas," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Azmi berkata, isu pegawai perubatan kontrak yang belum diserap ke jawatan tetap kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Kabinet selewat-lewatnya bulan ini.

"Kerajaan sudah lakukan yang terbaik dan usaha akan dipertingkatkan supaya doktor kontrak boleh diserap ke jawatan tetap sekali gus dapat menjadi penyambung kepakaran dalam bidang perubatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 4:47 PM