PETUGAS kesihatan melakukan penilaian ke atas pesakit yang positif Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Shah Alam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
PETUGAS kesihatan melakukan penilaian ke atas pesakit yang positif Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Shah Alam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menilai semula strategi sedia ada serta mengenalpasti langkah responsif bagi meningkatkan kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu MAEPS 2.0 (PKRC Bersepadu MAEPS 2.0) bagi menerima dan merawat pesakit kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, antara langkah yang diambil adalah dengan menambah segera jumlah katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital bawah KKM dan hospital pengajar universiti.

Sebagai contoh Adham berkata, terdapat penambahan 20 unit katil ICU diletakkan di Hospital Ampang, manakala lapan unit katil ICU dan 45 unit katil di wad tambahan diletakkan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia.

Katanya, dengan inisiatif itu ia membolehkan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 dipindahkan segera dari PKRC MAEPS ke hospital berkenaan.

"Daripada keseluruhan 5,198 katil yang disediakan di PKRC MAEPS, 154 daripadanya dikhususkan untuk pesakit Covid-19 kategori 4 dan ia sudah melepasi kapasiti penggunaan maksimum yang ditetapkan.

"Baki katil yang disediakan bagi pesakit Covid-19 kategori 1 hingga 3 pula hampir penuh. Berdasarkan data terkini secara puratanya PKRC MAEPS menerima 800 pesakit Covid-19 sehari dengan purata 200 daripadanya adalah pesakit kategori 4," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain penambahan katil di PKRC MAEPS, pihaknya juga akan melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dengan tambahan 60 unit katil dan peralatan tambahan yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta.

"Ia bagi meningkatkan lagi keupayaan hospital berkenaan untuk menerima pesakitnya khususnya yang dijangkiti Covid-19. Selain itu kita turut menubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di HTAR Klang, Selangor.

"Selain itu kita turut memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 bagi kategori 3 dan 4," katanya.

Dr Adham berkata, KKM turut melaksanakan segera penugasan semula atau mobilisasi sementara lebih 110 petugas kesihatan yang terdiri daripada 75 pegawai perubatan, anggota paramedik, pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu serta 43 pegawai perubatan dari hospital sekitar Lembah Klang.

"Penugasan mereka ini berkuat kuasa hari ini untuk tempoh antara satu hingga enam bulan bagi menyokong PKRC MAEPS bagi merawat pesakit Covid-19," katanya.

Katanya, turut ditambah 1,550 silinder oksigen bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC MAEPS.

"Penambahan silinder oksigen berkenaan meliputi 400 unit silinder oksigen bersaiz 6.8 m3 dan 1,000 unit pembekalan oksigen ke PKRC MAEPS.

"KKM juga memutuskan untuk membuat perolehan 'oxygen concentrator' sebanyak 300 unit dan perolehan bekalan oksigen daripada lebih dari satu pembekal.

"KKM juga akan melaksanakan kerja pengujian dan penyerahan 30 unit 'oxygen concentrator' baharu di PKRC MAEPS supaya peralatan berkenaan dapat digunakan segera untuk rawatan pesakit.

"Selain itu, kita juga akan mengoperasikan semula Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil yang membolehkan menempatkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 supaya PKRC MAEPS dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4," katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, KKM turut menyediakan sukarelawan terutamanya dari Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membantu menjaga pesakit kanak-kanak yang ibu bapanya sedang dirawat di hospital kerana dijangkiti Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 3:36 PM