Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Beberapa langkah strategik akan dilaksanakan bagi menangani peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di Lembah Klang kini termasuk penambahan RM100 juta untuk aktiviti penyumberluaran.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kapasiti katil di semua hospital di Lembah Klang juga akan ditambahkan iaitu daripada 3,412 katil kepada 3,777 katil di Selangor dan 795 katil kepada 1,129 katil di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata, turut ditambah baik adalah pengurusan pesakit di hospital iaitu menambahkan dua 'Hospital Full Covid-19' iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang bermula 23 Jun 2021.

"Hospital Ampang mempunyai kapasiti 577 katil. Manakala hospital lain dijadikan sebagai Hospital Hibrid Covid-19 kecuali Hospital Shah Alam yang dikekalkan sebagai 'Hospital Non-Covid-19.'

"Selain itu, kerjasama dibuat dengan tiga hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan Hospital Pengajar UPM.

"Bagi mengoptimumkan penggunaan katil di hospital itu, menjadikan keseluruhan katil bagi perawatan Covid-19 di Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 katil," katanya dalam sidang media khas Task Force Greater Klang Valley, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Chong Chee Keong dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Dr Adham berkata, skop Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) 2.0 turut diperluaskan sebagai Hospital Bersepadu Maeps yang berfungsi sama seperti hospital kerajaan bagi memberi perawatan pemulihan perawatan kecemasan kes Covid-19 kategori 3 dan 4 dengan menambahkan kapasiti oksigen kepada lebih 1,500 pesakit.

DR Adham (tengah) ketika sidang media khas.
DR Adham (tengah) ketika sidang media khas.

"Pada masa ini, terdapat 4,888 katil di PKRC MAEPS 2.0 bagi tujuan berkenaan. Selain itu, turut ditambah ialah kapasiti rawatan kecemasan khususnya di Selangor dengan meningkatkan lagi jumlah katil kecemasan daripada 486 katil kepada 591 katil.

"Menambahkan kapasiti perawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital daripada 280 katil kepada 349 di Selangor, manakala bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada 90 katil kepada 117 katil.

"Untuk makluman, jumlah bekalan oksigen di seluruh Selangor pada masa ini adalah berjumlah 6,391 buah (port dan tangki), dengan pencapaian pengunaan sebanyak 3,413 buah atau 53 peratus. Bagi meningkatkan lagi kapasiti oksigen di PKRC MAEPS yang dijadikan sebagai Hospital Bersepadu dalam perawatan Covid-19, penambahan sebanyak 1,000 tangki oksigen serta 1,000 'oxygen concentrator' sudah pun dilakukan," katanya.

Beliau berkata, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) juga sudah mengaktifkan Disaster Management Zone (DMZ) membabitkan kawasan bawah tanah (basement) yang dilengkapi dengan katil, bekalan oksigen berpusat, vacuum ports dan sistem pendawaian elektrik khas.

Katanya, kompleks rawatan serta hospital medan itu, dapat menyediakan kapasiti hingga 150 katil.

"Selain itu, kapasiti ICU di HATTM juga sudah ditingkatkan dengan penambahan sebanyak 17 katil termasuk keperluan ventilator, menjadikan keseluruhan kapasiti sebanyak 25 katil. Bagi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, penambahan katil untuk perawatan Covid-19 ditambah sebanyak 151 katil wad.

"Jabatan Kecemasan Hospital Serdang pula sudah menukar Zon Merah Kecemasan kepada Zon Merah Covid-19 kerana peningkatan jumlah kes pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan oksigen. Selain itu, penyumberluaran rawatan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta juga sudah pun dilaksanakan dari HTAR dan beberapa hospital KKM di Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bertujuan membolehkan HTAR serta hospital KKM di Lembah Klang meningkatkan kapasiti bilangan katil Covid-19.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengarahkan penambahan segera 151 katil di Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (KRIBA) serta tambahan 15 ventilator bagi kegunaan HTAR.

"Apa pun, Perdana Menteri mahu aspek kesihatan mental dalam kalangan anggota dan rakyat sentiasa diberikan perhatian secara serius bagi memastikan kebajikan serta moral kakitangan terus dijaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 7:07 PM