HTAR bekerjasama dengan JAIS dan APM bagi urusan pengebumian jenazah beragama Islam. FOTO ihsan HTAR
HTAR bekerjasama dengan JAIS dan APM bagi urusan pengebumian jenazah beragama Islam. FOTO ihsan HTAR
Ruwaida Md Zain


Klang: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menguruskan 38 lagi jenazah atau jasad pesakit Covid-19 beragama Islam dan bukan Islam, semalam.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) bagi urusan pengebumian 12 jenazah beragama Islam.

"Alhamdulillah, pasukan kami menerima satu lagi bantuan iaitu APM bagi memantapkan urusan Ops Bersepadu hari ini, selain kolaborasi bersama JAIS.

"Kerjasama ini adalah penting dalam usaha menyelesaikan fardu kifayah bagi jenazah Covid-19 di HTAR supaya ia berjalan lancar.

"Sejumlah 10 jenazah selamat diuruskan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang manakala dua jenazah lagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam," katanya menerusi facebook rasmi HTAR.

Dr Zulkarnain berkata, jumlah pengurusan jenazah Covid-19 secara keseluruhan yang dapat diselesaikan semalam adalah 38 kes.

"Selain yang dikebumikan menerusi Ops Bersepadu, baki jenazah berkenaan diuruskan oleh waris sendiri di mana jenazah ini dalam kalangan bukan Islam dan beragama Islam.

"Ini kerana ada dalam kalangan mereka yang mahu menyemadikan jenazah di tempat lain yang berdekatan dengan kawasan mereka," katanya.

Beliau mewakili HTAR turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa selain mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian ini.

"Semoga Allahyarham/Allahyarhamah (bagi jenazah beragama Islam) ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan diampunkan segala dosa-dosa mereka," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 8:57 AM