Anggota melakukan operasi menyelamat seorang individu yang cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah ambulan di KM 285 di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara. FOTO IHSAN BOMBA PERAK
Anggota melakukan operasi menyelamat seorang individu yang cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah ambulan di KM 285 di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara. FOTO IHSAN BOMBA PERAK
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang jururawat cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah ambulans yang terbabas di Kilometer 285 di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai menerima panggilan kecemasan pada 5.41 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya jentera di lokasi didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah ambulans swasta terbabas ke bahu jalan selepas menghantar pesakit. Terdapat seorang jururawat tersepit manakala pemandu ambulans selamat keluar dengan sendirinya.

"Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan penyelamat dan mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, jururawat berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian badan dan kaki.

Katanya, operasi tamat jam 6.17 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 9:00 PM